Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, kerajaan bersetuju mempercepatkan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa Empat bermula 15 November sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Pembayaran membabitkan peruntukan bernilai RM2.1 bilion akan memberi manfaat kepada 5.2 juta penerima pelbagai kategori. Setiap penerima bakal menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Baca Juga:

Tambah beliau lagi, bayaran secara berperingkat yang dijangka selesai 18 November ini akan membantu penerima membuat persediaan menghadapi banjir.

“Keputusan mempercepatkan pembayaran BKM Fasa Empat daripada Disember kepada November adalah bagi membantu penerima untuk menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada pertengahan bulan ini.

“Jika bayaran dikreditkan lewat dan sudah berlaku banjir, ia akan menyusahkan rakyat untuk mengeluarkan wang di bank,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Batu Bor di Kuala Bera, di sini, hari ini.

Memetik laporan Berita Harian, secara keseluruhan, RM8 bilion diperuntukkan kerajaan menerusi BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi 2022.

Anda boleh membuat semakan status pembayaran mulai 15 November ini dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran boleh dirujuk soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BKM melalui pautan ini.

Sumber