Badan induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memilih barisan kepimpinan baharu bagi penggal 2025-2029.

Dalam kongres pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029 yang berlangsung, di Subang hari ini, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub secara rasmi diumumkan sebagai Presiden FAM yang kelapan sejak 1951.

Baca Juga:

Mohd Joehari menang tanpa bertanding selepas menjadi calon tunggal untuk jawatan nombor satu itu sekaligus menggantikan presiden sebelumnya, Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan jawatan yang disandang sejak 2018.

Fam
Timbalan Presiden FAM

Dua timbalan presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram pula mempertahankan jawatan mereka apabila turut diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi nombor dua itu.

Bekas pemain skuad kebangsaan, Datuk Dollah Salleh memenangi jawatan naib presiden selepas mendapat 16 undi daripada ahli gabungan pada kongres tersebut.

FAM
Datuk Dollah Salleh

Tiga lagi kerusi naib presiden diisi Datuk Seri Rosmadi Ismail yang mendapat 17 undi, N Saaran (13 undi) dan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (17 undi), sekali gus mengenepikan Syed Yazid Syed Omar yang meraih sembilan undi.

Seorang lagi bekas pemain iaitu Datuk Zainal Abidin Hassan diumumkan sebagai pemenang salah satu daripada lapan kerusi ahli jawatankuasa eksekutif (EXCO) FAM.

FAM
Datuk Zainal Abidin Hassan

Bekas pengendali pasukan Selangor dan Sri Pahang itu mendapat 18 undi, sekali jumlah undian tertinggi dalam kalangan 14 calon yang bertanding bagi jawatan EXCO.

Sementara itu, Datuk Suraya Yaacob dan Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah mengekalkan kedudukan mereka di kerusi EXCO Wanita.

Barisan kepimpinan baharu ini akan menentukan hala tuju bola sepak Malaysia untuk lima tahun yang akan datang terutamanya skuad kebangsaan dari pasukan bawah umur hingga skuad senior.