Jurulatih Sanfrecce Hiroshima, Bartosch Gaul mengakui beliau keliru dengan keputusan yang membenarkan tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) beraksi dalam aksi pertama AFC Champions League Elite (ACLE) 2025/26 minggu lalu.

Pada 27 Januari lalu, tujuh pemain yang digantung telah dibenarkan untuk beraksi selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) yang dikemukakan.

Sehubungan dengan itu, Joao Figueiredo, Hector Hevel dan Jon Irazabal kembali memperkuatkan skuad JDT dan mereka turut beraksi ketika bertemu Sanfrecce di peringkat kumpulan dan kemudiannya berhadapan dengan Vissel Kobe.

Namun, sehari selepas JDT menewaskan Sanfrecce 3-1 dalam aksi pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim, panel CAS memutuskan bahawa tujuh pemain tersebut tetap akan dikenakan larangan bermain selama 12 bulan, tetapi hanya untuk perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak. Larangan berkuat-kuasa pada hari tersebut (5 Mac 2026).

Sukar Dihadam Oleh Bartosch Gaul

Keputusan itu turut menimbulkan tanda tanya buat Gaul yang mengakui sukar memahami rasional di sebaliknya.

Menurut Bartosch Gaul, beliau pada awalnya menyangka situasi tersebut sekadar satu gurauan kerana berpendapat sebarang pelanggaran peraturan sepatutnya disusuli dengan keputusan yang jelas.

Tambahnya lagi, beliau tidak memahami sepenuhnya keputusan tersebut, namun menegaskan fokus pasukannya kekal kepada usaha memenangi perlawanan, yang dianggap sebagai jawapan terbaik di atas padang.

“Ya, saya tahu soalan itu [berkaitan isu pemain JDT] akan datang. Ia soalan yang baik dan juga sedikit bersifat emosi bagi saya,” ujar Bartosch Gaul menurut sumber laporan ESPN Asia.

“Tetapi perkara itu bukan di bawah pengaruh saya atau di bawah pengaruh kami. Apa yang boleh saya katakan, pada mulanya saya fikir ia sekadar satu gurauan, bahawa ia hanya untuk satu perlawanan sahaja.”

“Bagi saya, saya lebih suka keputusan yang jelas. Jika memang ada situasi melanggar peraturan atau apa sahaja, saya tidak pasti, tetapi jika memang berlaku, maka sepatutnya ada keputusan yang jelas mengenainya.”

“Bagi saya, perkara ini tidak jelas. Saya tidak dapat memahaminya sepenuhnya, tetapi ia tidak memberi kesan kepada kami kerana apa yang berada dalam kawalan kami adalah pasukan, cara kami untuk memenangi perlawanan.”

“Itulah penyelesaian bagi kami. Itulah perkara yang kami boleh pengaruhi, jadi kami fokus kepada diri kami sendiri. Selebihnya…”

“Harapan saya, jika ada perkara seperti ini berlaku, keputusan yang jelas perlu dibuat. Bagi saya, ini bukan keputusan yang jelas, jadi saya tidak dapat memahaminya. Tetapi itu sahaja, ia tidak penting.”

“Saya adalah jurulatih pasukan dan fokus kami adalah pada perlawanan. Kami mahu memenangi perlawanan itu, dan jika kami menang, maka itu adalah jawapan terbaik. Kita tidak perlu membincangkan perkara lain lagi,” tambah Bartosch Gaul lagi.

Sumber