Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah menerima sebahagian rayuan tujuh pemain terhadap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan hukuman pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan.

Menurut kenyataan media dikeluarkan CAS sebentar tadi, rayuan bersepadu yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah ditolak, dan keputusan FIFA untuk mengenakan denda CHF 350,000 ke atas FAM dikekalkan.

Panel CAS memutuskan bahawa tujuh pemain tersebut akan dikenakan larangan bermain selama 12 bulan, tetapi hanya untuk perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.

CAS Tolak Rayuan FAM

Pada 2025, FAM telah mendekati tujuh pemain — Facundo Tomás Garcés Rattaro, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Gabriel Felipe Arrocha, Joao Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano — untuk memaklumkan bahawa mereka mungkin boleh memohon kewarganegaraan Malaysia secara sah dan mewakili pasukan kebangsaan FAM.

Para pemain tersebut kemudiannya melalui proses naturalisasi dan diberikan pasport Malaysia.

Pada 25 September 2025, Jawatankuasa Disiplin FIFA mendapati FAM dan pemain terlibat melanggar Kod Disiplin FIFA kerana menggunakan dokumen palsu dalam proses naturalisasi dan kelayakan, walaupun pemain-pemain tersebut tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia.

Keputusan ini disahkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 November 2025, yang mengekalkan denda CHF 350,000 terhadap FAM serta denda CHF 2,000 dan penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak ke atas setiap pemain.

FAM dan pemain kemudian memfailkan rayuan bersama ke CAS pada 5 Disember 2025. FAM mengakui wujudnya “kelemahan institusi” dan tidak menafikan tanggungjawab dalam pelanggaran Kod Disiplin FIFA, tetapi meminta denda dikurangkan kepada tidak melebihi CHF 50,000.

Panel CAS mendapati kesalahan pemalsuan dokumen kelayakan telah terbukti dan hukuman penggantungan 12 bulan daripada perlawanan adalah munasabah dan berkadar, memandangkan tanggungjawab bersama dalam penipuan tersebut.

Namun, menurut Artikel 22 Kod Disiplin FIFA, larangan tersebut hanya dikenakan terhadap perlawanan dan bukan semua aktiviti bola sepak. Ini bermaksud pemain masih boleh menjalani latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan.

Larangan bermain bermula hari ini, 5 Mac 2026, dengan pengiraan kredit tempoh penggantungan dari 25 September 2025 hingga 26 Januari 2026 yang telah dianggap telah dijalani.

Panel CAS juga menganggap denda CHF 350,000 terhadap FAM adalah wajar dan berkadar.

Keputusan ini adalah keputusan operasi tanpa alasan terperinci (grounds). Keputusan penuh CAS akan dikeluarkan kemudian, dan hanya teks keputusan bertulis yang akan mengikat dari segi undang-undang.