Kecerdasan buatan kini bukanlah sesuatu yang asing lagi di dalam kehidupan rakyat Malaysia. Orang ramai didapati bebas berkarya termasuk dalam menghasilkan musik dengan bantuan AI.

Memetik laman Amanz, lagu “Cinta Tersimpul Rapi” versi janaan kecerdasan buatan (AI) oleh Jane In Heaven dilaporkan telah dipadam daripada semua platform muzik digital hari ini.

Semalam, lagu tersebut mencetuskan fenomena selepas berjaya menduduki tangga teratas carta iTunes Malaysia dan meraih lebih 4.4 juta tontonan di YouTube serta tular secara meluas di aplikasi TikTok.

Meskipun mendapat sambutan luar biasa, lagu yang asalnya dipopularkan oleh Anis Suraya hampir 30 tahun lalu itu kini tidak lagi boleh diakses, sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai isu hak cipta dan etika penggunaan teknologi AI dalam industri muzik tanah air.

Isu Hak Cipta: Suria Records (SRC) Sekat Kandungan AI ‘Jane In Heaven’

Lagu janaan AI “Cinta Tersimpul Rapi” kini tidak lagi boleh didapati di platform Apple Music mahupun iTunes. Semakan di YouTube mendapati video berkenaan telah dipadamkan susulan tuntutan hak cipta yang difailkan oleh syarikat rakaman Suria Records (SRC).

Untuk rekod, karya asal yang mendapat sentuhan komposer Azmeer dan penulis lirik Lukhman S itu merupakan antara aset intelek milik SRC.

Tindakan tegas ini tidak hanya terhad kepada satu lagu, malah melibatkan lebih 40 lagu cover janaan AI lain di saluran YouTube Jane In Heaven.

Antara kandungan yang telah dipadamkan termasuklah simulasi suara artis-artis legenda tanah air seperti Dato’ M. Nasir, Aishah, Kumpulan Search, Dato’ Sudirman Arshad.

Baru Sehari Juara Carta iTunes Malaysia, Lagu AI 'Viral' Ini Terus 'Ghaib' Dari Semua Platform
Sumber Gambar: YouTube

Setakat tinjauan terakhir, saluran tersebut kini hanya meninggalkan sembilan buah lagu asli milik Jane In Heaven, sementara semua kandungan yang melibatkan manipulasi suara artis pihak ketiga telah diturunkan sepenuhnya bagi menghormati undang-undang hak cipta industri muzik.

MACP Tegaskan Hak Cipta Hanya Milik Manusia, Selari Dengan Piawaian Global

Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan rasmi yang menetapkan bahawa perlindungan hak cipta adalah hak eksklusif yang dikhaskan untuk manusia sebenar sahaja.

Tegasan ini dibuat bagi memastikan setiap karya kreatif yang diiktiraf adalah hasil daripada pengalaman hidup, tenaga kerja, serta kemahiran seni penulis lagu, dan bukannya sekadar cetusan kod algoritma komputer.

Melalui pendirian ini, MACP menjelaskan bahawa walaupun teknologi AI mampu meniru suara atau melodi dengan tepat, ia sama sekali tidak layak menuntut hak undang-undang mahupun menerima ganjaran kewangan yang diperuntukkan bagi pencipta manusia.

Garis panduan yang ditetapkan oleh MACP ini juga dilihat selari dengan pendirian antarabangsa, khususnya Pejabat Paten dan Cap Dagangan Amerika Syarikat (USPTO).

Badan dunia tersebut turut menegaskan bahawa sebarang karya yang dijana sepenuhnya oleh AI tidak boleh dimiliki oleh sesiapa, termasuk individu yang memasukkan arahan atau prompt ke dalam sistem tersebut.

Hal ini kerana prinsip asas undang-undang hak cipta di peringkat global kekal konsisten, iaitu perlindungan hanya boleh diberikan kepada hasil kreativiti yang bersumberkan pemikiran dan kapasiti manusia.