Syarikat penerbangan premium Malaysia, Batik Air baharu sahaja mengumumkan penambahan dua destinasi menarik ke dalam rangkaian laluan penerbangannya yang semakin berkembang.
Dua laluan dimaksudkan ialah dalam menghubungkan para pelancong ke ibu kota ikonik Beijing dan bandar yang penuh kehidupan, Changsha.
Laluan baharu ini dijadualkan bermula pada Mac 2025 yang sekali gus mengukuhkan komitmen Batik Air untuk memperluaskan rangkaian penerbangannya.
Dalam pada itu, ia turut mengeratkan hubungan antara Malaysia dan China serta menyediakan lebih banyak sambungan bersama peluang menarik untuk pelancongan dan perdagangan.
Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan, penerbangan sulung ke Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Daxing (PKX) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) akan berlepas pada 21 Mac 2025 dengan penerbangan tiga kali seminggu pada hari Rabu, Jumaat, dan Ahad.
Sementara itu, penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changsha Huanghua (CSX) pula akan bermula pada 22 Mac 2025 dengan perkhidmatan empat kali seminggu pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu.
Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Daxing cukup terkenal dengan reka bentuk canggihnya, menjadi pintu gerbang yang sesuai ke metropolis yang menakjubkan ini.
Manakala Changsha pula merupakan ibu kota dinamik bagi Provinsi Hunan, memikat pelawat dengan gabungan unik antara sejarah, budaya dan kecanggihan moden.
Dua destinasi baharu ini merupakan laluan ketujuh dan kelapan buat Batik Air di China, menyertai perkhidmatan sedia ada ke Chengdu, Guangzhou, Haikou, Kunming, Zhangjiajie, dan Zhengzhou.