Syarikat penerbangan premium Malaysia, Batik Air telah mengumumkan penambahan empat lagi laluan baharu yang akan berkuatkuasa pada Februari 2024.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, laluan tersebut akan menghubungkan Malaysia dengan tempat-tempat menarik di China untuk dilawati iaitu Kunming, Zhangjiajie dan Zhengzhou serta Kaohsiung di Taiwan.
Baca Juga:
- Malaysia Airlines Tawar Wi-Fi Tanpa Had Percuma Untuk Penerbangan Terpilih Mulai Hari Ini
- Jadi Syarikat Penerbangan Pertama Ke Kertajati, AirAsia Mahu Hubungkan Pengembara Terokai Jawa Barat
- MAS, AirAsia Dan Batik Air Sedia Bantu Penumpang MYAirline Yang Terkesan
Langkah strategik ini adalah selaras dengan komitmen Batik Air untuk menyediakan pilihan perjalanan yang pelbagai dan mengukuhkan kehadiran jenama tersebut di destinasi pelancongan utama Asia.
Perjalanan ke Kunming (KMG) akan bermula pada 8 Februari 2024 dengan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kekerapan empat kali seminggu, memberikan fleksibiliti kepada mereka yang mencari percutian yang tidak dapat dilupakan.
Perlepasan penerbangan dari KLIA setiap hari Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad pada jam 9:50 malam dan penerbangan pulang pula akan berlepas pada jam 2:35 pagi beroperasi pada hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.
Penerbangan sulung ke Zhangjiajie (DYG) pula akan bermula pada 9 Februari 2024 dengan penerbangan terus dari KLIA beroperasi tiga kali seminggu.
Penerbangan berlepas dari KLIA pada 9:30 pagi dan penerbangan pula berlepas pada 03:25 petang setiap hari Rabu, Jumaat dan Ahad.
Bersambung semula pada 9 Februari 2024, laluan ke Zhengzhou (CGO) akan menawarkan penerbangan terus dari KLIA empat kali seminggu.
Penerbangan berlepas dari KLIA setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad pada jam 7:40 malam dan penerbangan pulang pula akan berlepas pada jam 2:00 pagi beroperasi pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu.
Manakala, laluan ke ke Kaohsiung (KHH) pula akan bermula 7 Februari yang beroperasi tiga kali seminggu. Penerbangan berlepas dari KLIA pada pukul 2:15 pagi dan penerbangan pulang pula pada pukul 5:00 petang setiap hari Rabu, Jumaat dan Ahad.
Penerbangan ini juga akan diteruskan ke Nagoya. Pada masa ini, penerbangan antara KLIA dan Taipei (TPE) beroperasi dua kali sehari dan akan bersambung ke tiga destinasi di Jepun iaitu Okinawa, Osaka serta Nagoya.
Dengan perkhidmatan baharu ke Kaohsiung ini, frekuensi penerbangan ke Nagoya akan meningkat kepada enam kali seminggu.
Kesemua penerbangan ini akan dikendalikan menggunakan pesawat Boeing 737-8, yang menampilkan 180 tempat duduk kelas ekonomi. Harga tambang termasuk elaun bagasi 20kg untuk penumpang.