Seorang vigilante (pejuang jalanan) warga Mexico yang digelar sebagai ‘Batman’ kini diburu pihak polis kerana didakwa mengejar suspek pencuri motosikal di sekitar bandar sebelum mengikat mereka pada tiang lampu menggunakan pita pelekat, menurut sebuah laporan.
Sekurang-kurangnya lima lelaki ditemui dalam keadaan tidak berdaya selepas diikat dengan pita pelekat pada tiang-tiang jalan dalam tempoh 10 hari, bermula 13 Jun di kawasan Lagos de Moreno, Jalisco, petik NY Post.
Berdasarkan beberapa foto yang dimuat naik oleh wartawan Mexico, Luis Cárdenas, di platform X, kebanyakan daripada suspek pencuri berkenaan turut diconteng dengan imej misai, misai kucing, serta perkataan Sepanyol yang membawa maksud ‘pencuri’ pada wajah mereka.
🚨 En Jalisco, tras la falta de ayuda por parte de las autoridades, un hĂ©roe anĂłnimo empezĂł a cazar ladrones robamotos. Hasta el momento, ya lleva cinco en diez dĂas y lo apodan el 'Batman de Lagos de Moreno'. pic.twitter.com/C1AJYqGIcO
— LuisCardenasMX (@LuisCardenasMx) June 24, 2026
Vigilante tersebut — yang dirujuk oleh Cárdenas sebagai ‘Batman Lagos de Moreno’ — turut meninggalkan motosikal yang didakwa dicuri berhampiran lelaki-lelaki tersebut bagi mendedahkan jenayah mereka, lapor agensi berita itu lagi.
Salah satu foto menunjukkan dua lelaki diikat secara membelakangi antara satu sama lain pada sebatang tiang, dengan sekeping papan tanda berwarna merah jambu diletakkan di atas kepala mereka serta sebuah motosikal ditinggalkan di hadapan mereka.
Pihak Berkuasa Buru ‘Batman Lagos de Moreno’
Setiausaha Keselamatan Negeri, Juan Pablo Hernández, menyatakan bahawa pihak polis mengklasifikasikan lelaki yang diikat itu sebagai mangsa dan kini sedang berusaha untuk menangkap individu vigilante berkenaan.
Kesemua lelaki terbabit telah berjaya dilepaskan daripada ‘ikatan’ pada tiang tersebut dan diberikan rawatan bagi kecederaan yang dialami.
Walau bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada mereka sedang disiasat atas dakwaan mencuri atau pun tidak.
Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat, namun pihak polis telah mengenal pasti dua buah kenderaan yang mungkin mempunyai kaitan dengan insiden-insiden tersebut.