Biasanya, kita selalu dengar kisah seram tentang “penyewa dari neraka”. Rumah ditinggalkan macam tongkang pecah, bil utiliti mencecah ribuan ringgit, atau lebih parah, penyewa melarikan diri tanpa membayar sewa berbulan-bulan.

Namun, bagi seorang pemilik kondominium di Shah Alam ini, kisahnya sangat berbeza. Beliau menyifatkan dirinya sebagai antara pemilik rumah paling bertuah di Malaysia apabila mendapat penyewa yang bukan sahaja berdisiplin, malah terlalu baik sehingga beliau sendiri rasa “keliru”.

“Aku Ke Dia Yang Owner Sebenarnya?”

Menerusi perkongsian pemilik ini, beliau menyewakan unit kondonya kepada sepasang suami isteri Melayu. Apa yang mengejutkan, urusan pembayaran sewa dan bil utiliti berjalan dengan sangat lancar tanpa perlu diminta.

“Kadang-kadang saya keliru saya ni owner atau apa. Dia yang akan bank-in sendiri, malah dia pula yang tolong ingatkan saya tentang bil-bil yang dia perlu bayar,” katanya.

Dalam dunia hartanah hari ini, situasi di mana penyewa “mengejar” tuan rumah untuk membayar bil adalah sesuatu yang sangat jarang berlaku (rare). Kebanyakannya, tuan rumah yang terpaksa menebal muka menghantar mesej peringatan setiap hujung bulan.

Rumah Dijaga Lebih Cantik Dari Asal

Bukan itu sahaja, penyewa ini juga sangat berdikari. Sepanjang tempoh penyewaan, beliau hanya menghubungi pemilik rumah sekali sahaja, itu pun untuk urusan membaiki syiling. Selebihnya, segalanya diuruskan sendiri tanpa menyusahkan pemilik.

Pada suatu ketika, pemilik rumah berkesempatan untuk melawat unit tersebut (bukan untuk tujuan pemeriksaan, tetapi atas urusan pembaikan syiling tadi). Alangkah terkejutnya beliau apabila melihat keadaan dalaman rumahnya.

Rumah yang disewakan itu bukan sahaja bersih, malah dijaga dengan sangat rapi, jauh lebih baik daripada keadaan asal semasa kunci diserahkan dahulu.

'Bayar On Time, Siap Hias Rumah Cantik-Cantik!' – Tuan Rumah Teruja Dapat Penyewa Dari Syurga
Sumber Gambar: Threads

Di dalam gambar tangkap layar, kelihatan si penyewa benar-benar memaklumkan secara terperinci setiap bayaran yang dibuat serta berbudi bahasa dengan pemilik rumah.

Rezeki Dapat Penyewa Berkualiti

Kisah ini membuktikan bahawa masih ada penyewa yang mempunyai kesedaran tinggi dan menganggap rumah sewa itu seperti harta sendiri. Bagi pemilik ini, memiliki penyewa yang jujur dan pembersih adalah satu rezeki yang tidak ternilai harganya.

“Mungkin saya pemilik rumah paling bertuah di Malaysia buat masa ini,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, di ruangan komen telah dihujani komentar yang percaya bukan mudah untuk mendapat penyewa yang baik apatah lagi sanggup menghiasi rumah menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Banyak kisah menarik yang turut dikongsikan oleh pemilik hartanah lain yang bersyukur juga berpeluang mendapat penyewa baik seperti ini dan ada kisah dari sisi penyewa bercerita mereka pun menjaga hubungan baik dengan pemilik masing-masing dengan membayar sewa bulanan tepat pada masanya dan menjaga rumah yang didiami dengan baik.

Menariknya, ada seorang individu yang berkongsi kisah manis apabila dia malah berjaya memiliki rumah yang disewanya sudah berpindah hak milik selepas mendapat kata sepakat dengan pemilik asal.