SPRM pada tempoh hari lalu ada membongkar kegiatan sindiket jual sijil lahir di sekitar Lembah Klang. Nampaknya hari ini mereka membongkar lagi satu sindiket jenayah yang berleluasa di kalangan warga tempatan.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, berdasarkan siasatan, bayi warga asing itu kerap dijual atau dijadikan anak angkat oleh rakyat negara ini.
Baca Juga:
- Penyiasat Australia Bersama SPRM Berjaya Tumpaskan Antara Sindiket ‘Scammer’ Terbesar Dunia
- Sindiket Penipuan ‘Online’ Guna Fail APK Berjaya Ditumpaskan Oleh Pihak PDRM
Bayi warga asing yang membabitkan warganegara India, Bangladesh, Myanmar dan Indonesia dikesan paling ‘laris’ dijual oleh sindiket di negara ini.
Menurutnya, siasatan dilakukan terhadap salah sebuah klinik di Ampang Rabu lalu yang mana didapati hampir 90 peratus pesakit yang melahirkan bayi di premis itu adalah warga asing.
Perkara ini turut mencetuskan tanda tanya apatah lagi ada antara fail kelahiran bayi di klinik itu sebelum ini gagal ditemui.
“Pelbagai alasan diberikan termasuk dakwaan doktor disiasat kononnya perkara itu dilakukan doktor lain yang diupah bekerja di klinik miliknya. Malah ada doktor disiasat turut memberi alasan perbuatan itu dilakukan individu yang menyamar sebagainya.
“Kegiatan jenayah terancang ini membabitkan kerjasama tiga pihak iaitu doktor klinik swasta, orang tengah dan segelintir pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.
Bahkan, siasatan SPRM turut menemui perkara mencurigakan apabila ada klinik swasta terbabit tidak bertanyakan status pesakit yang ingin bersalin sama ada sudah berkahwin secara sah atau pun sebaliknya.
Hal ini sekaligus menyebabkan SPRM mengesyaki kewujudan urusan jual beli bayi dan JPN ditipu menggunakan dokumen palsu kelahiran diberikan doktor terbabit.
Menurutnya, walaupun perkara ini sukar dibuktikan namun SPRM tetap akan meneruskan siasatan terperinci terhadap klinik swasta yang diletakkan dalam ‘senarai hitam’ JPN.
Untuk makluman, pihak SPRM telah menahan 13 individu membabitkan doktor pakar swasta, orang tengah sindiket dan pengawai JPN menerusi operasi serentak jam 10 pagi kelmarin.