Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menggesa semua pengendali perkhidmatan air untuk melaksanakan langkah-langkah mitigasi segera susulan gangguan laluan perdagangan akibat konflik di Timur Tengah yang dikhuatiri menjejaskan kelangsungan bekalan air.
Menurut SPAN, langkah-langkah tersebut termasuklah memastikan stok simpanan bahan kimia serta alat ganti mekanikal dan elektrikal yang mencukupi bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan akan datang, petik New Straits Times.
Baca Juga:
- ‘Dulu RM700 Juta, Kini Kerajaan Dijangka Tanggung Subsidi Minyak RM3.2 Bilion’ – Menteri Kewangan II

- Krisis Minyak Global: Negara Mana Paling Bergantung Kepada Selat Hormuz?

- TERKINI: Isra*l-Amerika Syarikat Serang Infrastruktur Minyak Iran Dan Mahu Merampasnya

Suruhanjaya itu menjelaskan bahawa industri perkhidmatan air sangat bergantung kepada dua faktor pasaran antarabangsa yang utama, iaitu bahan api bagi rawatan dan agihan air, serta logistik bagi perolehan peralatan, alat ganti, dan bahan kimia yang digunakan di loji serta sistem perpaipan.
“Berdasarkan pemantauan semasa, para pengendali setakat ini belum merasai impak yang ketara memandangkan kos bahan api masih terkawal susulan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Begitu juga dengan kos alat ganti dan bahan pemprosesan yang setakat ini tidak menunjukkan sebarang peningkatan mendadak,” kata suruhanjaya tersebut dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Kos boleh melonjak
Memetik laporan itu lagi, SPAN menambah bahawa pihaknya akan terus memantau situasi melalui penilaian impak yang berterusan dan tidak menolak kemungkinan berlakunya kesan langsung yang boleh mengganggu industri sekiranya konflik tersebut berlarutan.
“Sebarang lonjakan kos secara mendadak akan menjejaskan operasi penyedia perkhidmatan air. Jika perlu, langkah-langkah bersesuaian akan dicadangkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
“Ini bagi memastikan impak terhadap pengguna dapat diminimumkan di samping mengekalkan keupayaan industri untuk menyediakan perkhidmatan secara konsisten.
“PETRA melalui SPAN sedang meneliti secara proaktif semua risiko berpotensi, sama ada yang ketara mahupun tidak ketara terhadap industri perkhidmatan air, dan akan mengambil langkah perlu bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan,” kata SPAN.
Dalam pada itu, SPAN turut menyeru para pengguna agar menggunakan air dan tenaga secara berhemah, terutamanya semasa musim perayaan dan ketika berdepan krisis global.
Sebarang isu luar jangka berkaitan bekalan air boleh dilaporkan terus kepada pengendali perkhidmatan air atau kepada SPAN melalui aplikasi SiSMAS di sismas.span.gov.my.