Seorang lelaki warganegara China didenda RM10 juta dan penjara mandatori sehingga lima tahun atas pertuduhan melepaskan sisa kimia ke laluan air pedalaman, berhampiran kawasan perindustrian Jalan Kampung Orang Asli di Kuang, Selangor bulan lalu.
Memetik laporan Bernama, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata lelaki berusia 42 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu yang menyebabkan kejadian pencemaran bau dan terhentinya loji rawatan air (LPA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 pada 23 Julai lalu.
Wan Abdul Latiff berkata, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 (AKAS) yang dibaca bersama Seksyen 251) akta sama.
Beliau berkata pihak pendakwaan diketuai oleh timbalan pendakwa raya selangor Raja Zaizul Faridah Raja
Zaharudin bersama timbalan pendakwa raya JAS Nurliyana R Azmi.
“Hakim Nor Rajiah Mat Zin tidak membenarkan permohonan ikat jamin terhadap tertuduh dan menetapkan 10 September penyerahan dokumen,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, lebih 1,000 lokasi di tujuh wilayah di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan penutupan empat LPA akibat insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah, Selangor.
Wan Abdul Latiff berkata tindakan tegas di bawah AKAS akan dikenakan kepada mana-mana pihak termasuk pemain industri yang didapati mencemarkan alam sekitar.
AKAS 1974 yang dipinda dan berkuat kuasa pada 7 Julai 2024 telah memberi keutamaan kepada pindaan hukuman, denda, dan penalti yang melibatkan julat denda antara RM5,000 dan RM10 juta selain hukuman penjara mandatori tidak melebihi lima tahun.