Baru-baru ini seorang wanita mat saleh, Danielle merakam keadaan kereta Kia miliknya terlibat dalam insiden kebakaran. Namun apa yang mengejutkan Danielle, bekas air jenama Stanley kekal utuh di dalam pemegang cawan kereta tersebut.

Lebih mengejutkan penonton video tersebut, apabila wanita itu mengangkat dan mengoncang bekas air itu, masih ada lagi ais di dalamnya walaupun seluruh bahagian dalam kereta sudah hangus terbakar.

Baca Juga:

Hantaran video TikTok @danimarielettering telah meraih perhatian satu dunia. Setakat hari ini, video tersebut telah mendapat lebih 67 juta tontonan.

Video tersebut tular sehingga mendapat perhatian jenama Stanley itu sendiri. Presiden syarikat berkenaan telah merakam satu video khas buat wanita itu.

“Hey Danielle, nama saya Terence Reilley, Presiden Stanley. Kami semua telah melihat video anda, sangat menyayat hati namun kami bersyukur anda selamat.

“Terima kasih kerana berkongsi video itu kerana ia menunjukkan ‘Stanley’ dicipta untuk ketahanan. Insiden yang anda alami itu menunjukkan kualiti produk kami.

“Kami bersyukur anda selamat dan ramai meminta kami memberikan anda produk Stanley. Ya, kami akan hantar beberapa kepada anda,” kata Terence dalam video maklum balas kepada Danielle.

@stanleybrand

#stitch with @Danielle Stanley has your back ❤️

♬ original sound – Stanley 1913

Tambah beliau lagi, selain menghantar beberapa bekas air Stanley lagi, pihak syarikat ingin memberikan sesuatu yang belum pernah dibuat sebelum ini.

“Ada satu perkara lagi, kami belum pernah buat sebelum ini dan saya tak mahu buat lagi pada masa akan datang.

“Kami mahu menggantikan kereta anda yang terbakar itu dengan kereta baharu. Kami semua di Stanley mahu menggantikan kereta anda. Mohon semak DM anda. Sila jaga diri,” kata Terence menamatkan video tersebut.

Jawapan yang diberikan presiden Stanley itu telah meraih pelbagai reaksi warganet di seluruh dunia. Ramai yang memuji jenama tersebut atas keprihatinan terhadap Danielle.

Ada juga menganggap, tindakan tersebut merupakan satu marketing paling berpengaruh di dunia — Stanley tidak perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk menjadi jenama bualan ramai pada ketika ini.

Dalam pada itu, menerusi satu video terbaharu yang dimuat naik Danielle, beliau tidak menyangka video yang dikongsikan akan menarik perhatian satu dunia.

“Siapa sangka dalam tempoh 15 saat (video tersebut) boleh mengubah segala-galanya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh dunia kerana terus memberikan sokongan kepada saya (selepas insiden kebakaran berlaku).

“Mengenai butiran DM (penggantian kereta baharu), saya akan biarkan Stanley selesaikan terlebih dahulu. Nanti saya akan temui anda semula (dalam video baharu) tidak lama lagi,” kata Danielle.