Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur cadangkan komuniti gelandangan membantu membersihkan kawasan ibu kota.

Menurutnya, daripada menganggap komuniti gelendangan sebagai masalah, adalah lebih baik mereka terlibat sama dalam kerja-kerja pembersihan tersebut, lapor The Star.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Daripada menganggap mereka sebagai masalah, komuniti (gelandangan) yang bertanggungjawab terhadap 80% sampah di kawasan itu, harus mengambil bahagian secara aktif dalam usaha pembersihannya,” kata Datuk Seri Nor Hisham Ahmad Dahlan yang pernah menjadi datuk bandar dari 2 Oktober 2018 hingga 30 September 2020.

Nor Hisham berkata pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga pengawal selia sisa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) terpaksa menerima bahawa gelandangan adalah satu perkara yang rumit.

“Jumlah sampah sarap yang dihasilkan oleh komuniti gelandangan amat membimbangkan, malah pembersih Alam Flora berkata ia menjejaskan kerja mereka.

“Pemilik perniagaan juga bimbang kerana orang ramai membuang sampah di hadapan kedai mereka, dan pemandu pelancong berasa tertekan tentang sampah di tempat-tempat pelancongan.”

Nor Hisham mencadangkan kerjasama antara agensi seperti DBKL, SWCorp, JKM, Alam Flora dan pemilik perniagaan tempatan.

Beliau berkata mereka harus bekerjasama, mengenal pasti komuniti gelandangan, membahagikan mereka kepada kumpulan yang lebih kecil dan memperuntukkan kawasan khusus untuk mereka membersihkan secara berkala.

“Mereka sepatutnya ditawarkan insentif untuk membersihkan kawasan yang ditetapkan, mengurangkan masa yang diluangkan oleh pembersih mengutip sisa sampah,” katanya.

Nor Hisham berkata insentif itu tidak perlu terhad kepada wang tunai tetapi boleh termasuk kupon yang boleh ditebus untuk barangan runcit dari kedai runcit berhampiran.

“Mereka juga boleh menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ DBKL, menjaga aset bandar daripada vandalisme.

“Bagi memastikan kesinambungan, kumpulan yang mengekalkan kawasan paling bersih boleh diberi ganjaran wang tunai atau insentif lain.

“Siapa tahu, mereka juga mungkin berubah sikap dan melihatnya sebagai satu tempat untuk dijaga dan bukannya tempat tidur sementara,” tambahnya.

Nor Hisham memberi respons kepada cerita muka depan StarMetro bertajuk “Kekacauan di bandar” pada 12 Disember mengenai peningkatan jumlah sampah di tapak bersejarah pusat bandar Kuala Lumpur yang dibuat oleh gelandangan serta beberapa pemilik perniagaan.

“Apabila saya membaca artikel itu, saya agak kesal kerana saya adalah Datuk Bandar yang menghadiri majlis perasmian lorong yang baru diubah suai itu pada November 2018.

“Saya hadir di Lorong Yap Ah Loy dan Lorong Bandar 13 dan saya berbangga dengan projek pengubahsuaian itu.

“Melihat apa yang terjadi seperti hari ini hanya menyedihkan,” katanya.

Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan Ummi Kalthum Shuib yang melawat kawasan itu selepas dimaklumkan berkata, usaha telah diambil untuk memindahkan beberapa tong sampah, termasuk di Lorong Yap Ah Loy, ke lokasi yang lebih baik.

“Kami telah menyelesaikan perkara ini buat masa ini, tetapi kami memerlukan penyelesaian tetap untuk isu ini dan saya akan bertemu dengan agensi berkaitan tidak lama lagi untuk membincangkan perkara itu,” katanya kepada StarMetro.

Sumber