Ketika syarikat hartanah gergasi China Evergrande Group terjerumus ke lembah muflis dengan hutang berbillion dolar, bekas isteri pengerusinya pula dilapor berbelanja besar untuk memiliki deretan rumah mewah di London, lapor The Edge.
Ding Yumei, 68, bekas isteri kepada Hui Ka Yan – lelaki yang pernah digelar individu kedua terkaya di Asia – kini didedahkan sebagai pemilik 33 unit kediaman mewah di projek Thames City, sebuah pembangunan berprestij di ibu kota Britain.
Hartanah Bernilai RM285 Juta
Menurut pendedahan terbaru Bloomberg News yang bersumberkan data pendaftaran tanah UK, hartanah bernilai £49.8 juta (sekitar RM285 juta) itu dibeli pada September 2022, sembilan bulan selepas Evergrande gagal melunaskan hutang-hutangnya.
Apa yang menimbulkan persoalan ramai, pembelian mega ini berlaku hampir setahun selepas pihak berkuasa China mendesak Hui menggunakan kekayaan peribadi untuk membayar hutang syarikatnya.
Namun, hartanah-hartanah tersebut kini didaftarkan atas lima syarikat yang berpangkalan di British Virgin Islands untuk mengaburkan lagi jejak pemilikan aset.
Ding kini tinggal bersama dua anak dan dua cucu di salah satu unit termahal yang dibelinya, sebuah kediaman bernilai £5.4 juta (lebih RM30 juta).
Manakala unit-unit lain disewakan melalui ejen hartanah terkemuka, Jones Lang LaSalle (JLL).
Sewanya pula bukan calang-calang – mencecah lebih £34,000 (sekitar RM194,000) sebulan untuk sebuah penthouse lima bilik.
Mahkamah Keluar Perintah Beku Aset
Apa yang lebih mengejutkan, mahkamah di Hong Kong dan London telah mengeluarkan perintah membekukan aset Ding di seluruh dunia pada Julai tahun lalu dalam usaha untuk mendapatkan semula kira-kira US$6 bilion (sekitar RM28 bilion) daripada Ding, Hui dan beberapa bekas eksekutif Evergrande.
Namun, Ding didakwa cuba melengah-lengahkan proses pendedahan aset dengan memohon kerahsiaan maklumat dan penjelasan teknikal di mahkamah.