Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) hari ini telah mengumumkan jurulatih dari Jepun, Tsutomu Ogura sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan Singapura dan juga pasukan bawah 22 tahun (B-22).

Ogura akan menggantikan tempat rakan senegara, Takayuki Nishigaya, yang dipecat ekoran prestasi skuad Singapura tidak memuaskan di pentas antarabangsa.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Beliau juga merupakan jurulatih Jepun ketiga berturut-turut yang dipilih untuk mengendalikan pasukan Singa. Lebih menarik, Ogura memiliki lesen UEFA Pro dan fasih berbahasa inggeris.

Ogura pernah menjadi penolong jurulatih pasukan kebangsaan Jepun pada 2006 hingga 2010, sebelum menggalas jawatan sama dengan skuad Olimpik negara itu pada 2010 hingga 2012.

Antara pengalaman beliau ialah bertugas dengan beberapa kelab Jepun, termasuk menggalas peranan pengarah sukan di Yokohama F. Marinos (2018-2022), yang ketika itu dibimbing oleh pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou sehingga menjulang gelaran kejuaraan liga pertama mereka dalam 15 tahun pada 2019.

Pengendali yang berusia 57 tahun itu turut memiliki pengalaman luas di pentas antarabangsa. Beliau pernah dilantik sebagai bekas penolong jurulatih pasukan kebangsaan Jepun selama empat tahun, di bawah Ivica Osim (2006-2007) dan Takeshi Okada (2008-2010).

Beliau antara barisan jurulatih yang membantu Jepun layak ke pusingan kalah mati dalam saingan Piala Dunia 2010.

Selepas Piala Dunia, beliau menggalas jawatan sama untuk pasukan Bawah-23 Tahun Jepun dibawah kendalian Takashi Sekizuka, yang bertanding dalam Sukan Olimpik 2012. Jepun mara ke separuh akhir di edisi temasya sukan London itu.

Tugasan pertama Ogura ialah kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang China pada bulan Mac ini.