Hasrat Singapura untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata tidak jadi kenyataan apabila dibelasah Korea Selatan 5-0 pada aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 di Seoul.

Dalam perlawanan, Korea Selatan yang dibimbing oleh Jurgen Klinsmann menurunkan barisan terkuat terdiri daripada beberapa pemain terkemuka seperti Son Heung Min (Tottenham Hotspur), Kim Min Jae (Bayern Munich) dan Lee Kang In (PSG).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Bagaimanapun, tuan rumah perlu menunggu sehingga minit ke 44 untuk memperolehi gol pertama menerusi Cho Gue-Sung. Sejak dari sepak mula, Singapura lebih banyak bermain bertahan sehingga memberi kesukaran kepada lawan.

Memasuki separuh masa kedua, Korea Selatan bangkit dengan lebih garang dan berjaya menambah gol kedua pada minit ke 49 melalui tandukan pemain Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee-Chan.

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh Singapura namun mereka diasak bertubi-tubi oleh jentera serangan Korea Selatan sejak separuh masa kedua bermula.

Pada minit ke 62, Stadium Piala Dunia Seoul bergema dengan sorakan ribuan penyokong apabila Son Heung Min melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Singapura, Hassan Sunny untuk gol ketiga.

5 minit kemudian, Korea Selatan memperolehi gol keempat menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Hwang Ui Jo. Penalti itu diberikan oleh pengadil selepas mendapati pemain naturalisasi Singapura, Song Ui Yong telah mengasari Son Heung Min.

Berbaki 10 minit sebelum tamat perlawanan, giliran Lee Kang In pula mencatat nama sebagai penjaring apabila rembatan leretnya berjaya menghasilkan gol kelima untuk Korea Selatan.

Keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan Korea Selatan kini merupakan pendahulu kumpulan C.