Jepun mengukuhkan cengkaman di tangga teratas kumpulan C Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas mudah menewaskan Indonesia 4-0 pada aksi kelima yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.
Kemenangan penting dilakarkan itu menyaksikan Jepun terus di tangga teratas dengan 13 mata, tujuh mata dihadapan Australia, Arab Saudi dan China.
Baca Juga:
- Kelayakan Piala Dunia 2026: China Hadiahkan Kekalahan Pertama Buat Indonesia
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Jepun Mudah Belasah China 7-0
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Australia Calarkan Rekod Kemenangan Bersih Jepun
Indonesia pula kini berada ditangga terbawah dengan tiga mata diraih hasil tiga keputusan seri dan dua kekalahan.
Mendapat sorakan padu puluhan ribu penyokong sendiri, Indonesia terlebih dahulu menguji gawang Jepun menerusi Ragnar Oratmangoen pada minit kesembilan.
Mendapat peluang secara berseorangan selepas Ko Itakura gagal mengawal bola dengan baik, Oratmangoen hanya berhadapan dengan Zion Suzuki dalam kawasan penalti.
Namun, penjaga gol yang lahir di Amerika Syarikat itu dengan tenang menafikan percubaan dilakukan Oratmangoen.
Beberapa minit kemudian, hantaran lintang dilakukan Kevin Diks dan Pascal Struick dalam kawasan penalti Jepun tidak dapat dibaca rakan sepasukan.
Jaringan pembukaan Jepun hadir pada minit ke-35 selepas gerakan kemas dijelmakan membolehkan Daichi Kamada melakukan lorongan mudah yang membias terkena Justin Hubner lalu bola bergolek masuk ke gawang Indonesia.
Berselang lima minit kemudian, giliran Takumi Minamino pula membuktikan ketajaman penyudahnya untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Kesilapan penjaga gol, Maarten Paes yang melakukan hantaran dalam kawasan penalti kepada Hidemasa Morita tidak disia-siakan pemain tengah tersebut yang pantas melepaskan rembatan untuk gol ketiga buat Jepun pada minit ke-49.
Pemain gantian, Yukinari Sugawara menambah derita tuan rumah ketika aksi memasuki minit ke-69 hasil rembatan padunya yang tidak mampu diselamatkan Paes.
Kelebihan empat gol memihak Jepun itu kekal hingga wisel penamat untuk kekalahan kedua berturut-turut dialami Indonesia.
Indonesia akan melayani kunjungan Arab Saudi pada 19 November ini manakala Jepun pula beraksi di tempat lawan bertemu China.