Indonesia sekali lagi mencatatkan keputusan seri selepas terikat tanpa jaringan ketika bertemu Australia pada aksi kedua Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.

Tidak seperti ketika aksi bertemu Arab Saudi yang menyaksikan anak buah Shin Tae-yong cukup bertenaga, skuad Indonesia pada perlawanan ini jelas ditekan dengan hebat.

Baca Juga:

Beraksi dihadapan puluhan ribu penyokong sendiri, Indonesia bagaimanapun bermula dengan baik apabila tidak menunggu lama untuk mengasak ke kubu Australia.

Ia dapat disaksikan dengan percubaan daripada Marselino Ferdinan seawal minit pertama diselamatkan oleh penjaga gol, Matthew Ryan.

Menyerap tekanan dengan cukup baik, anak buah Graham Arnold kemudiannya mendominasi penguasaan permainan dan mencipta banyak peluang.

Namun penjaga gol Indonesia, Maarten Paes cukup kental bagi menghalang gawangnya daripada dibolosi para pemain Australia.

Pemain pertahanan, Harry Souttar mendapat dua peluang terbaik pada mini ke-21 dan ke-23 tetapi rembatan serta tandukannya dalam kawasan penalti diselamatkan dengan tenang penjaga gol FC Dallas itu.

Soccer Football – World Cup – AFC Qualifiers – Group C – Indonesia v Australia – Gelora Bung Karno Main Stadium, Jakarta, Indonesia – September 10, 2024 Indonesia players line up during the national anthems before the match REUTERS/Ajeng Dinar Ulfiana

Memasuki minit ke-34, Nestory Irankunda pula mendapat peluang terbaik untuk meletakkan pasukan ranking ke-24 dunia itu dihadapan. Namun, rembatannya yang sudah menewaskan Paes sekadar singgah di tiang gol.

Seminit kemudian, percubaan jarak dekat diledakkan Craig Goodwin pula digagalkan Paes untuk sekali lagi menggagalkan usaha Australia.

Skrip sama berulang pada babak kedua dengan penguasaan besar permainan oleh Australia masih lagi belum mampu menghadirkan jaringan buat pasukan pelawat ekoran kecemerlangan Paes.

Paes menangkap kemas sepakan percuma diambil Goodwin pada minit ke-58  dan turut menghampakan pemain gantian, Adam Taggart yang melakukan percubaan  jarak dekat dalam kawasan penalti di minit ke-67.

Kedudukan tanpa jaringan itu kekal hingga tamat permainan untuk memberikan mata kedua buat Indonesia manakala Australia meraih mata sulung selepas mereka tumbang kepada Bahrain pada aksi pertama tempoh hari di Gold Coast.

Selepas berakhir dua perlawanan, Arab Saudi yang menang ke atas China 2-1 berada ditangga teratas dengan empat mata, tetapi kedudukan tersebut akan berubah sekiranya Jepun dapat menewaskan Bahrain pada awal pagi esok.

Indonesia pula berada ditangga keempat dan Australia kelima manakala China yang tewas pada dua aksi awal dikedudukan kelima.