Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, secara rasmi telah bersara hari ini selepas menabur bakti selama 36 tahun dalam perkhidmatan awam.
Persaraan beliau menandakan berakhirnya era kepimpinan hampir sembilan tahun dalam memacu transformasi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebagai institusi data strategik negara sejak tahun 2017.
Larian Simbolik ‘DOSM Night StatsRun 60KM 2026’

Bagi menghargai jasa dan sumbangan besar beliau, Kelab Sukan Statistik (KSS) telah menganjurkan program DOSM Night StatsRun 60KM 2026 pada 4 hingga 5 Julai lalu.
Acara pelepasan (flag-off) telah disempurnakan tepat jam 10.00 malam pada hari Sabtu, 4 Julai 2026, bermula di Kompleks C6/C7, DOSM Putrajaya.
Catatan Padu Di Aplikasi Strava

Menerusi perkongsian di akaun Strava, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir membuktikan usia bukanlah penghalang untuk menamatkan larian ultra tersebut.
Beliau berjaya merekodkan catatan masa yang sangat mengagumkan:
Jarak Keseluruhan: 60.87 kilometer
Masa Larian: 9 jam 13 minit
Purata Kelajuan (Pace): 9:06 minit setiap kilometer
“Alhamdulillah syukur. Larian persaraan 60.87 km. Terima kasih semua. #FitDOSM”, tulisnya pada aplikasi Strava.
Rupa-rupanya Ini Maksud Simbolik ‘60.87 KM’

Angka 60.87 kilometer sepanjang laluan sekitar Putrajaya itu bukanlah kebetulan, sebaliknya ia dirancang rapi dengan maksud tersendiri:
60 Kilometer: Melambangkan umur persaraan wajib beliau iaitu 60 tahun dalam sektor awam.
0.87 Kilometer: Menggambarkan tarikh lahir serta tarikh rasmi persaraan wajib beliau pada 8 Julai (8/7).
“Simbolik ini mencerminkan perjalanan penuh dedikasi, ketabahan dan kecemerlangan sepanjang enam dekad berkhidmat kepada negara.
“Terima kasih kepada semua peserta, urus setia, sukarelawan dan pihak yang telah bersama-sama menjayakan program ini. Statistik Nadi Kehidupan,” kata Kelab Sukan Statistik (KSS).