Strava, aplikasi untuk individu aktif dengan lebih daripada 195 juta pengguna baharu sahaja mengumumkan penambahan sokongan untuk sepuluh bahasa baharu dalam platformnya.
Lebih menarik, bahasa melayu juga tersenarai dalam senarai tersebut yang turut menampilkan bahasa Thailand, Filipina (Tagalog), Turkiye, Vietnam, Sweden, Poland, Norway, Denmark dan Republik Czech.
Penambahan terbaharu ini menjadikan jumlah bahasa yang disokong di seluruh platform dan saluran sokongan kini sebanyak 24 bahasa.
Pengumuman ini mencerminkan komitmen berterusan mereka dalam menyediakan pengalaman platform yang lebih setempat di pelbagai rantau, sekali gus membolehkan pengguna membina hubungan dengan komuniti tempatan, mendapatkan motivasi, dan mencapai matlamat kecergasan mereka.
Tambahan Sokongan Bahasa Dalam Strava
“Dengan penambahan bahasa-bahasa baharu ini, Strava kini .lebih inklusif dan global berbanding sebelum ini, membolehkan pengguna menikmati pengalaman penuh Strava dalam bahasa ibunda mereka,” kata Louisa Wee, Ketua Pegawai Pemasaran Strava.
“Perkembangan ini merupakan sebahagian daripada strategi pertumbuhan global kami yang lebih meluas, termasuk kerjasama serantau, penghasilan kandungan setempat, serta cabaran dan program khusus pasaran yang akan dilancarkan pada tahun ini.”
Pengguna percuma kini boleh menikmati pelbagai ciri yang dilokalkan, termasuk keupayaan untuk menjejak lebih daripada 50 jenis aktiviti serta berhubung dengan rakan-rakan.
Sementara itu, pelanggan berbayar boleh mendapat akses kepada cadangan senaman yang diperibadikan, alat untuk meneroka dan merancang haluan baharu, cabaran serta elemen persaingan yang memotivasikan, dan juga analisis latihan yang lebih mendalam bagi membantu pengguna mencapai sasaran kecergasan.