Pernah tak anda rasa bila masuk usia 30-an, berat badan makin sukar nak turun berbanding zaman 20-an dulu? Malah, ada yang mula rasa hairan kerana walaupun porsi makanan sudah dikurangkan, lemak di bahagian perut pula yang makin tebal.
“Sebenarnya, ini memang perkara normal dari sudut sains,” ujar seorang jurulatih kesihatan tempatan, Coach Khalid menerusi hantaran di Facebook CoachKhalid16.
Menurut beliau, apabila usia mencecah 30 hingga 40 tahun, tubuh mula mengalami penurunan jisim otot semula jadi atau sarkopenia, di samping sensitiviti insulin yang semakin berkurang.
Bagi anda yang mahu memangkas 10 hingga 15 kg secara kekal dan selamat untuk hormon, Coach Khalid menyarankan empat langkah mudah ini.
Hentikan Diet Bawah 1,200 Kalori
Ramai yang tersilap langkah dengan menyekat makanan secara ekstrem apabila berat susah nak turun. Makan terlalu sedikit pada usia 30-an sebenarnya akan membuatkan fungsi tiroid makin perlahan dan kadar metabolisme merudum.
Tetap makan secara mencukupi, iaitu sekitar 1,400 hingga 1,500 kalori sehari dengan zat yang seimbang. Langkah ini penting supaya badan rasa selamat untuk membakar lemak, bukannya menyimpan lemak.
Amalkan Kaedah Anchoring Protein
Setiap kali makan, pastikan anda mengutamakan pengambilan protein. Sasarkan sekitar 100 hingga 115 gram protein sehari daripada sumber seperti telur, dada ayam, ikan, tempe, atau tahu.
“Protein ini berfungsi menjaga jisim otot kita supaya kekal utuh,” jelas Coach Khalid. Dengan otot yang terjaga, kadar metabolisme harian tidak akan merosot walaupun berat badan anda mula berkurangan.
Guna Kaedah Intermittent Fasting Santai
Anda tidak perlu melakukan puasa ekstrem sehingga 18 atau 20 jam yang akhirnya boleh memicu pening kepala dan tabiat makan berlebihan.
Cukup sekadar amalkan selang masa puasa yang santai sekitar 12 hingga 14 jam sahaja.
Sebagai contoh, anda boleh mula makan pada jam 8 pagi dan mengakhiri waktu makan pada jam 8 malam. Tempoh rehat ini sudah memadai untuk merehatkan hormon insulin serta mengembalikan sensitivitinya.
Jalan Kaki Berbanding Kardio Berat
Daripada menghabiskan masa berjam-jam melakukan kardio yang berat, tukarkan rutin tersebut kepada berjalan santai sebanyak 7,000 hingga 10,000 langkah sehari. Ini merupakan cara terbaik untuk membakar kalori ekstra tanpa menaikkan kortisol, iaitu hormon stres dalam badan.
Hakikatnya, melangkah ke angka 30-an bukanlah titik noktah untuk anda memiliki tahap kesihatan dan bentuk badan idaman.
Proses menurunkan berat badan pada fasa umur ini tidak lagi menuntut anda untuk menyeksa diri di gimnasium setiap hari atau mengikat perut sehingga kelaparan.
Apa yang paling penting adalah strategi yang bijak. Seperti pesanan Coach Khalid, kuncinya terletak pada pemahaman kita terhadap perubahan biologi dan keperluan badan sendiri.
Berdamailah dengan hormon anda, rawat tubuh dengan nutrisi yang mencukupi, dan jadikan gaya hidup aktif sebagai satu rutin yang santai serta menyeronokkan, bukannya satu bebanan.
Jadi, jika anda mula perasan seluar kegemaran semakin ketat di bahagian pinggang, jangan cepat melatah atau berputus asa dengan mencuba pelbagai diet ekstrem.
Ambil masa, ubah pendekatan gaya hidup anda secara perlahan-lahan, dan konsisten dengan empat langkah mudah ini. Percayalah, tubuh badan anda pasti akan berterima kasih dalam masa beberapa bulan dari sekarang.