Sekarang anda pergi mana sahaja pasti akan terlihat iklan mahupun kedai minuman yang menawarkan berperisakan matcha.
Kombinasi manfaat kesihatan, daya tarikan visual di media sosial, rasa yang unik, dan latar belakang budayanya menjadikan air matcha sebagai minuman yang sangat popular dan terus berkembang di seluruh dunia.

Kumpulan wanita menjadi antara peminat terbesar dan boleh dikatakan ada yang sedia meminumnya pada setiap hari.
Bagaimanapun, seorang ahli farmasi tempatan telah memberikan nasihat awam untuk peminat matcha terutamanya wanita kerana jika terlalu kerap minum matcha boleh mengganggu kitaran haid anda.
Dalam satu video TikTok, ahli farmasi Syah @syahfarmasi menjelaskan bahawa salah satu kemungkinan punca kitaran haid tidak teratur dalam kalangan wanita muda adalah pengambilan matcha yang kerap.
Walaupun ramai yang minum matcha atau minuman teh hijau lain untuk meningkatkan tenaga atau mencantikkan kulit, Syah berkata pengambilan yang berlebihan, terutamanya kerana kandungan kafein yang tinggi, boleh mengganggu keseimbangan hormon dan menyebabkan kitaran haid tidak teratur.
“Satu cawan matcha boleh mengandungi sekitar 70mg kafein. Pengambilan yang berlebihan boleh mengganggu hormon wanita, menjejaskan ovulasi, dan menyebabkan kitaran haid tidak stabil,” katanya.
Selain mengganggu kitaran haid, terlalu banyak kafein juga boleh memburukkan gejala PMS (sindrom prahaid) seperti senggugut, sakit kepala, dan perubahan mood.
Syah menjelaskan bahawa pengambilan matcha secara sederhana adalah baik, tetapi menasihati mereka yang mengalami kitaran haid tidak teratur untuk berhenti mengambilnya selama satu hingga dua bulan bagi memantau tindak balas badan mereka.
Matcha bukan terhad kepada minuman, penggunaan bahan matcha kepada makanan, manisan, kek, dan aiskrim juga boleh menjadikan pengambilan kafein boleh meningkat tanpa disedari.
@syahfarmasi Matcha buat period tak stabil ? Betul ka? Aduhh habislah lepasni tak boleh lepak minum matcha dah 😠#matcha #matchastrawberry#matchaataukopi #KesihatanDalaman #kesihatan #wanita
Tidak sekadar itu, dia juga berkongsi di dalam video bahawa wujud sebahagian individu yang merasakan gelisah dan berdebar-debar setiap kali minum matcha.
Hal ini kerana kandungan kafein dalam matcha lebih tinggi berbanding teh hijau biasa. Pengambilan kafein yang berlebihan akan merangsang sistem saraf, meningkatkan degupan jantung, serta melepaskan hormon stres seperti kortisol dan adrenalin.
Apabila paras kortisol meningkat tanpa sebab fizikal yang jelas, otak kita akan menganggapnya sebagai “bahaya”. Kesannya, kita akan mula berasa gelisah, sukar fokus, dan tangan menjadi berpeluh.