Bekas Ketua Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali menyatakan penganjuran acara mega seperti perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1 GP) penting untuk daya saing dan kedudukan global Malaysia.

Bagaimanapun menganjurkannya semula memerlukan strategi nasional yang diselaraskan dengan baik, petik Bernama.

Baca Juga:

Beliau yang mengetuai SIC dari 2008 hingga 2020, berkata penganjuran F1 GP tidak seharusnya dilihat hanya sebagai perbelanjaan tahunan yang menelan kos RM300 juta, tetapi sebagai pelaburan jangka panjang dengan pulangan ekonomi yang luas.

“Ia bukan hanya tentang kos. Ia tentang impak ekonomi yang dibawa oleh acara mega. Semasa kami mula-mula membawa F1 GP pada 1999, tujuannya adalah untuk meletakkan Malaysia di peta global,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual menerusi telefon baru-baru ini.

'Bukan Tentang Kos, Tapi Impak Ekonomi' – Bekas Ketua SIC Kongsi Pentingnya Penganjuran F1 Di Malaysia
Sumber Gambar: Harian Metro
Penganjuran F1 GP di Malaysia hiatus

Menurut beliau lagi, negara menarik diri daripada penganjuran F1 berikutan kenaikan kos, serta penurunan jualan tiket.

Pada masa itu, Razlan dan lembaga pengarah SIC mengesyorkan penganjuran direhatkan selama lima tahun.

Sejak itu perlumbaan F1 GP telah berpindah di bawah naungan Liberty Media dan kembali meraih populariti menerusi program Drive to Survive Netflix.

Sekarang masa sesuai kembalikan F1 GP di Malaysia

“Sekarang adalah masa yang sesuai untuk menimbangkannya semula, kerana FI GP adalah produk yang lebih kukuh sekarang berbanding 2017. Tetapi ini bergantung kepada sama ada kerajaan mempunyai sumber dan rancangan yang serius,” katanya.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menolak cadangan untuk menganjurkan kembali perlumbaan mega itu kerana kos tinggi.

Katanya kos tersebut boleh digunakan untuk membiayai program pembangunan atlet.

Bagaimanapun, Razlan berpendapat kedua-duanya itu tidak harus dilihat sebagai keutamaan yang bersaing.

Hannah Yeoh
Sumber Gambar: Scuderia Fans

“Kedua-duanya boleh dilakukan jika anda mempunyai sumber dan perancangan yang betul. Pembangunan atlet dan FI GP adalah dua perkara berbeza, anda melabur dalam kedua-duanya,” katanya.

Menurutnya, jika Malaysia serius untuk kembali menganjurkan F1 GP, usaha itu perlu diterajui kerajaan, diselaraskan merentasi kementerian dan disokong oleh kajian impak ekonomi yang bebas.

“Jika anda hanya pergi kepada Kementerian Kewangan, jawapannya akan sentiasa tidak. Tetapi jika ada kemahuan serius, ia mesti dilakukan dengan betul dengan pulangan pelaburan yang jelas dan sekurang-kurangnya perjanjian lima tahun,” katanya.

Cabaran bersaing dengan Singapura
'Bukan Tentang Kos, Tapi Impak Ekonomi' – Bekas Ketua SIC Kongsi Pentingnya Penganjuran F1 Di Malaysia
Sumber Gambar: Crash.net

Memetik Bernama lagi, walaupun Malaysia mempunyai litar ikonik Sepang dan pengalaman menganjurkan perlumbaan bertaraf dunia, Razlan mengakui cabaran untuk bersaing dengan Singapura.

Namun beliau percaya Malaysia masih kekal menarik kepada penganjur F1 GP.

“Peminat dan pemandu antarabangsa merindui (litar) Sepang. Saat Malaysia bersedia, Liberty Media pasti akan memberi perhatian. Lagipun segalanya adalah tentang wang dan pengaruh, tetapi ia mesti disokong oleh kemahuan dan perancangan,” katanya.

Pada masa ini perlumbaan MotoGP adalah acara sukan antarabangsa terbesar Malaysia, menarik lebih 160,000 pengunjung ke Litar Sepang setiap tahun.

Singapura telahpun mengukuhkan dirinya sebagai destinasi utama perlumbaan F1 GP, manakala Thailand berhasrat menjadi destinasi bagi kedua-dua F1 GP dan MotoGP.

“Dulu kita menganjurkan kedua-dua F1 GP dan MotoGP. Kini, berbanding jiran, kita ketinggalan. Jika Malaysia mahu kekal kompetitif, acara mega antarabangsa mesti menjadi sebahagian daripada strategi pelancongan dan ekonomi kita. Jika tidak, kita berisiko ketinggalan,” kata Razlan.

Beliau berkata walaupun ramai rakyat Malaysia masih merindui keterujaan menonton F1 GP, nostalgia tidak seharusnya menentukan keputusan.

“Ia (F1) adalah acara yang hebat dan Litar Sepang menawarkan perlumbaan dan tontonan yang amat menarik. Tetapi apa yang paling penting adalah pelaksanaan; ia perlu dilakukan dengan betul,” katanya.

Sumber