Bekas pemain beregu lelaki badminton nombor satu dunia, Tan Boon Heong mendedahkan beliau pernah menjadi mangsa sindiket penipuan (scam) sehingga kerugian hampir RM2.5 juta.

Boon Heong berkongsi pengalaman itu di laman media sosial selepas mengetahui pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing  kehilangan hampir semua wang simpanannya menerusi sindiket penipuan.

Baca Juga:

“Melihat rakan badminton saya ditipu mengingatkan saya yang pernah ditipu juga.

“Ingat, memberikan wang hasil titik peluh anda ke tangan orang lain dan mengharapkan untuk mendapatkannya kembali adalah mustahil. Saya cadangkan fokus pada apa yang anda boleh kawal.

“Jika anda tidak boleh kawalnya, jangan terlibat,” tulis Boon Heong menerusi laman facebooknya.

Menurut Boon Heong, beliau ditipu sebanyak dua kali oleh individu yang dikenalinya. Bekas pemenang pingat emas Sukan Asia 2006 itu mengingatkan kepada semua supaya berhati-hati ketika melabur.

“Saya ditipu sebanyak dua kali, sekali berjumlah AS$500,000 (RM2.3 juta) dan sekali lagi RM160,000. Jika anda benar-benar mahu melabur, anda sepatutnya menjadi pegawai bank dan bukannya pemain,” katanya.

Semalam, Lai Pei Jing mengejutkan peminat badminton negara apabila mendedahkan hampir semua wang simpanannya telah hilang akibat ditipu oleh ‘scammer’.

Dia juga sudah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

“Ya, saya telah ditipu hampir semua simpanan saya oleh sindiket penipuan. Sejujurnya, ini adalah tamparan yang sangat berat kerana ia adalah simpanan hasil kerja keras saya sejak bertahun-tahun.

“Ia memerlukan keberanian yang besar untuk bercakap tentang ditipu kerana siapa yang mahu memberitahu orang lain bahawa mereka telah ditipu, betul tak?

“Saya harus menjelaskan sebab mengapa saya tiba-tiba menghilangkan diri sejak beberapa hari lalu. Sebaiknya semua okay, saya akan berkongsi lebih lanjut mengenainya.

“Saya berharap dapat menghalang lebih ramai mangsa dan menerima hakikat bahawa saya telah ditipu,” kata Pei Jing.