Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) buat kejutan apabila mengumumkan Park Jaehong sebagai ketua jurulatih yang akan mengemudi pasukan itu untuk saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Park Jaehong merupakan bekas pemain kebangsaan Korea Selatan yang pernah mewakili negaranya ke pentas Sukan Olimpik Sydney 2000 dan Piala Asia 2004.

Baca Juga:

Beliau yang berusia 43 tahun itu cukup dikenali di Korea Selatan dan musim lalu melatih kelab divisyen 3, Yangju Citizen.

Kariernya sebagai pemain juga cukup gemilang kerana mengutip pingat kejuaraan dalam saingan piala di Korea selain dua pingat kejuaraan Liga Romania bersama FC Cluj.

Selain beraksi di Romania, Park Jaehong pernah menyertai kelab Thailand, Police United FC pada 2012 untuk saingan Thai Premier League dan akhirnya mengantung but sepenuhnya pada 2013.

Park Jaehong merupakan anggota tetap skuad kebangsaan Korea Selatan suatu ketika dahulu.

Selepas menamatkan karier sebagai pemain, Jaehong direkrut menjadi scout Bucheon FC. Dua tahun kemudian beliau dinaikkan menjadi jurulatih skuad A dan B kelab itu.

Tamat kontrak, dia menyertai rangkaian televisyen siaran TvN selama 4 tahun tetapi kembali ke arena setelah menerima tawaran Yangju Citizen pada 2022.

Kehadiran Park Jaehong ke Kelantan Darul Naim FC sebenarnya sudah lama namun diumumkan secara rasmi dihadapan ribuan penyokong yang bertandang di dataran Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam.

Park Jaehong yang memiliki lesen jurulatih Diploma Pro akan dibantu oleh Rezal Zambery Yahya bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia.

“Walaupun Jaehong tidak bersama pasukan sejak awal musim, barisan jurulatih telah mendapatkan khidmat dan rujukan daripada beliau untuk menerapkan corak latihan kepada pemain.

“Pengurusan kelab meletakkan harapan tinggi kepada Jaehong musim ini dengan dibantu Rezal Zambery bagi membawa perubahan corak permainan dan memberi cabaran sengit kepada pasukan lain,” kata Presiden KDN FC, Rozi Muhamad.