Kelantan United (KUFC) yang akan terus beraksi dalam saingan Liga Super sedang menikmati proses transformasi apabila kini bergelar Kelantan Darul Naim (KDN) FC.
Perkembangan terkini mengenai perubahan nama dan logo pasukan itu dibuat menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi kelab tersebut sebentar tadi.
Baca Juga:
- Rayuan Kelantan Ditolak, Tak Layak beraksi Liga Super 2024-25
- TRW Kelantan Cipta Sejarah Pasukan Pertama Bolos Lebih 100 Gol Dalam Liga Super
- Pemain TRW Kelantan Nafi Dakwaan CEO, ‘Celah Mana Dah Selesai?’
“Seiring dengan harapan dan aspirasi daripada semua pihak, tanggal 12 Mac 2024 atau 1 Ramadan 1445H, secara rasminya kami mengumumkan kepada semua penjenamaan semula nama kelab beserta logo dari Kelantan United FC kepada Kelantan Darul Naim FC.”
“Penjenamaan semula nama dan logo kelab adalah disebabkan keinginan pihak pengurusan untuk menyatupadukan semula para penyokong dan pendukung bola sepak Kelantan dibawah satu panji serta bendera kebanggaan, Kelantan Darul Naim.”
“Misi serta visi pihak pengurusan sangat jelas bahawa perubahan nama dan logo ini bukan untuk menggantikan pasukan utama.”
“Namun, satu perubahan yang dibuat demi melihat sebuah pasukan yang berdaya saing beraksi di hierarki tertinggi Liga Malaysia bersama kelab utama yang lain dengan entiti lebih dominan serta memiliki satu pengaruh bersifat menyeluruh.”
Kelantan Darul Naim FC merupakan kelab yang menaiki tangga ke saingan tertinggi di Malaysia dengan penuh kesabaran.
Bermula dengan aksi dalam kempen Piala FAM (sebelum bergelar Liga M3), kelab ini kemudiannya berjaya menjuarai Liga M3 sekali gus membolehkan mereka beraksi dalam Liga Premier.
Selepas tiga musim, Kelantan Darul Naim mendapat peluang untuk turut sama bersaing dalam Liga Super bermula musim lalu.