Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam mengumumkan ketibaan pemain import terbaru, Nicolao Dumitru Cardoso bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Cardoso bakal memperkuatkan jentera serangan Harimau Selatan dan dijangka membentuk gandingan mantap bersama Bergson dan Arif Aiman Hanapi.

Baca Juga:

JDT merupakan kelab ketiga dari Asia yang disertai oleh pemain dari Itali tersebut selepas beraksi dalam saingan Liga Thailand bersama Buriram United selain pernah menyarung jersi kelab Korea Selatan, Suwon Bluewings.

Malah, pemain yang berusia 32 tahun ini membawa pengalaman luas dari eropah kerana pernah beraksi dalam saingan Serie A bersama kelab ternama, Napoli.

Beliau kemudian dipinjamkan ke kelab FC Empoli dan merekodkan 15 gol dalam 115 penampilan di Serie B.

Selain itu, Cardoso pernah menyertai beberapa kelab Sepanyol dan turut berhijrah ke England beraksi bersama Nottingham Forest yang kini dinaikkan pangkat ke divisyen utama, Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bola sepak Asia bukan asing bagi Cardoso kerana beliau juga mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL) pada musim 2023 bersama Buriram United.

Pengalaman tersebut bakal digunakan sebaik mungkin untuk membantu JDT menghadapi musim baharu AFC Champions League Elite (ACLE) yang menampilkan beberapa kelab hebat di Asia.

Selain Cardoso, JDT sebelum ini mengumumkan kemasukan pemain import baharu untuk kuota Asia iaitu Jalil Elias dan turut menandatangani pemain tengah dari Brazil, Murilo Henrique.