Bekas pemain import Selangor, Yazan Al-Arab menganggap saingan Liga Korea sebagai liga terbaik di rantau Asia ketika ini.

Yazan mengimbas kembali tahun 2024 yang dianggap cemerlang bagi dirinya dimana beliau membantu Jordan mara ke perlawanan akhir temasya Piala Asia dimana pasukan itu tewas kepada Qatar dan Yazan kemudiannya menyertai FC Seoul pada Julai.

Baca Juga:

Pemain berusia 28 tahun itu kini fokus dalam membantu kelabnya untuk memburu tempat beraksi di saingan peringkat Asia pada musim akan datang.

“Sebelum datang ke sini (Seoul), saya berjanji akan memberikan segalanya untuk kelab. Saya mahu memenangi kejuaraan bersama FC Seoul.

“Sekarang kita perlu fokus untuk mendapatkan tiket Liga Juara-Juara Asia musim hadapan.

“Liga Korea adalah salah satu liga terbaik di Asia. Itulah sebabnya saya mengambil keputusan untuk datang ke Korea, kerana liga ini mempunyai pemain yang sangat bagus, peminat yang fanatik dan juga stadium yang baik.

“Semuanya berada pada tahap yang tinggi di sini,” katanya.

Sebelum ini, Yazan beraksi bersama Selangor selama dua musim namun beliau terpaksa berpisah dengan Gergasi Merah dengan cara yang kurang tepat.

Selangor menamatkan kontrak Yazan sebelum saingan musim 2023 berakhir selepas pemain itu menyepak pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir ketika aksi suku akhir kedua antara Selangor FC dan Terengganu FC.

“Berikutan Prosiding Tatatertib tersebut, kelab telah memutuskan untuk menamatkan kontrak Yazan Al-Arab melalui penamatan kontrak bersama secara serta-merta.

“Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yazan Al-Arab di atas khidmat dan bakti beliau buat Red Giants sepanjang dua musim bersama dengan Kelab.

“Kelab ingin mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan yang terbaik untuk masa depan Yazan. Terima kasih, Yazan,” dipetik dari kenyataan kelab.