Minat sejarah Melayu sejak dari kecil telah didorong oleh cerita-cerita rakyat yang disampaikan oleh nenek. Apabila dewasa, Mohd Faizal Rahmat, 35, berpeluang sambung pelajaran dalam bidang senibina di Universiti Teknologi Malaysia yang lebih menjurus pada sejarah dan falsafah telah membuka ruang lebih besar dan khusus berkaitan minatnya itu.
Pada tahun ke-5 pembelajaran dia perlu menjalankan kajian rekabentuk perbandaran berkaitan Melaka. Itulah permulaan landasan untuknya merangka kajian peribadi. Tambahan pula, Faizal berpeluang berjumpa dengan orang muzim, menemuramah orang penting berkaitan sejarah Melaka dan berada di tapak sebenar sejarah.
Perkenalan Faizal dengan perisian 3D Max Studio versi 3.1 sekitar tahun 2000 telah menemukan dia dengan satu sinar baru apabila dia berimpian untuk menggabungkannya dengan kajian sejarah Melaka. Jadi, dia belajar sendiri perisian ini sehingga mahir.
Setelah tamat pengajian pada 2005, Faizal telah terlibat dalam rekabentuk senibina dan hiasan dalaman lebih 12 tahun. Dia betul-betul fokus 3D pada hujung 2014. Dengan penggunaan perisian Autodesk 3D Studio Max + VRay 2014 dan Adobe Photoshop dia menghasilkan pelbagai rekabentuk senibina 3D yang menarik dan details.
Kecintaannya pada senibina Melayu dalam bentuk simulasi 3D menyebabkan dia berpeluang terlibat dalam beberapa projek seperti rekabentuk hiasan dalaman Istana Negara Jalan Duta, Istana Besar Johor Bahru dan Singahsana dan Istana Hinggap Gua Musang.
Terbaru, dia membina 3D Kota Melaka yang dibuat berdasarkan kajian sejarah Melayu dan dikombinasikan dengan kreativitinya. Ia penghasilan 3D yang paling rumit dan memerlukan pendekatan yang lebih berhati-hati kerana melibatkan fakta sejarah yang sahih dari 3 sumber utama termasuk rekod sejarah dari Muzium British, rekod Portugal dan arkib negara.
Menurut Faizal, dia menggunakan 60% fakta dan 40% kreativiti bagi membangunkan sebuah Kota Melaka pada zaman kegemilangannya antara 1456 hingga 1477.