Sudah mula berkecimpung dalam bidang seni sejak berusia 4 tahun, nama pelakon remaja Qistina Raisah tidak asing lagi dalam industri lakonan Malaysia.

Menerusi satu laporan, Qistina mengakui bahawa dirinya dibuang sekolah sewaktu dia darjah satu dan hanya sempat menghadiri sesi persekolahan selama 10 hari.

Baca Juga:

Dia dibuang sekolah kerana dia kerap tidak hadir ke sekolah disebabkan terlalu sibuk menjalani penggambaran drama dan beberapa program televisyen lain.

Bukan itu sahaja, dia juga memaklumkan dia tidak mempunyai pengalaman duduk makan di kantin sekolah. Bagaimanapun, Qistina mendapatkan pendidikan di rumah atau homeschooling dari usianya tujuh tahun sehingga sekarang.

Ketika darjah enam, dia pernah cuba sekali lagi untuk mendaftar masuk ke sekolah bagi menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), namun pandemik Covid-19 melanda.

“Selepas itu saya dapat ‘job’ ke Itali untuk penggambaran bersama Zul Ariffin dan Neelofa. Cikgu pula ingat saya pergi bercuti, kena buang terus (lagi sekali),” katanya.

Malah, Qistina berkata dia mempunyai impian untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke luar negara namun percaya dengan rezeki yang diaturkan oleh Allah SWT.

“Ada orang sudah belajar tinggi-tinggi pun, belum tentu boleh berjaya. Jadi saya pada usia muda sudah bina karier dan nama dalam bidang seni, jadi saya teruskan sahaja,” ujar Qistina.