Seorang bekas perdana menteri dan pembantunya akan dipanggil untuk disoal siasat berhubung siasatan terhadap perbelanjaan berjumlah RM700 juta untuk tujuan publisiti.

Memetik laporan Malay Mail, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki bagaimanapun tidak mendedahkan bila mereka akan dipanggil.

Baca Juga:

“Setakat ini, apa yang penting ialah kita mahu melihat bagaimana wang itu dibelanjakan dan pertanyaan kita tidak banyak mengenai bagaimana ia diluluskan,” katanya kepada pemberita pada Simposium Tadbir Urus Negara di sini.

Ketika ditanya sama ada ia adalah perdana menteri kesembilan, iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Azam hanya berkata SPRM akan memanggil “bekas PM dan pembantunya”.

Minggu lalu, SPRM mengesahkan sedang menyiasat perbelanjaan berjumlah RM700 juta untuk tujuan publisiti di bawah dua pentadbiran persekutuan sebelum ini.

Siasatan itu berdasarkan maklumat awal yang diterima suruhanjaya itu susulan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 7 November tahun lalu.