Hari ini telah menyaksikan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim mengumumkan Belanjawan 2024.

Belanjawan yang diumumkan pada kali ini sekaligus menjadi belanjawan terbesar pernah diumumkan kerajaan dengan menelan belanja sebanyak RM393.8 bilion.

Menerusi jumlah tersebut, RM303.8 bilion digunakan untuk perbelanjaan pengurusan, RM90 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion bagi tujuan simpanan luar jangka.

Berdasarkan pengumuman yang diumumkan PMX, kami rangkumkan beberapa pengumuman yang berjaya mendapat perhatian ramai pada belanjawan pada kali ini.

1. Cukai SST dinaikkan daripada 6% kepada 8%

Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar Cukai Perkidmatan dinaikkan daripada 6% kepada 8%. Walau bagaimanapun, kenaikan cukai ini tidak tertakluk kepada makanan dan minuman dan telekomunikasi.

Sementara itu, cukai turut diperluaskan bagi perniagaan melibatkan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke.

2. Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dinaikkan

Dalam usaha membantu golongan yang memerlukan, kerajaan perpaduan komited untuk meringankan beban degnan menaikkan jumlah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM3,100 kepada RM3,700.

Sementara itu, pemberian STR kepada golongan belia juga turut dinaikkan daripada RM350 kepada RM500. Bantaun STR juga turut dinaikkan peruntukan kepada RM10 bilion.

3. Yuran masuk universiti awam tidak melebihi RM1,500

Sebagai inisiatif untuk meringan beban para mahasiswa, pihak kerajaan telah mengehadkan yuran kemasukan ke universiti awam pada kadar tidak lebih RM1,500.

Selain itu, pelajar yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat mendaftar subjek pada setiap semester. Langkah ini dilihat sebagai salah satu inisiatif dalam meningkatkan semula jumlah pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran ke universiti awam.

4. Akaun Fleksibel KWSP bakal diperkenalkan

Perdana Menteri turut mengumumkan Akaun Fleksibel KWSP di mana akaun ini masih lagi menerima dividen namun menariknya, akaun ini membolehkan pencarum mengaksesnya pada bila-bila masa sahaja.

5. Diskaun bayaran balik PTPTN diteruskan

Pernah diumumkan sebelum ini, diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN akan sekali lagi diteruskan bermula 14 Oktober sehingga 31 Mac ini.

Diskaun 10% antara yang diberikan kepada mereka yang mahu membuat pembayaran penuh atau bayaran 50% daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

Sementara itu, diskaun 15% antara yang ditawarkan buat mereka yang membuat bayaran secara pemotongan gaji.

6. Kereta elektrik digunakan sebagai kenderaan rasmi kerajaan

Sebuah lagi langkah melestarikan alam sekaligus mengurangkan penggunaan karbon, kerajaan menyambut baik teknologi terbaru dengan mengumumkan penggunaan kereta elektrik sebagai kenderaan rasmi.

Meskipun tidak dikongsikan secara penuh, berkemungkinan pelan ini bakal diusahakan secara berperingkat.

7. Rebat tunai RM2,400 kepada pembeli motosikal elektrik

Belanjawan 2024

Sebagai usaha untuk merancakkan kenderaan elektrik, pihak kerajaan bercadang untuk memperluaskan kepada pembeli motosikal elektrik.

Dilaporkan rebat tunai RM2,400 antara yang diberikan kepada rakyat berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah.

8. Insentif buat penjawat awam dan pesara

Berita baik, buat mereka yang bekerja sebagai penjawat awam gred serta pesara, pihak kerajaan telah mengumumkan Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam buat mereka yang terlibat.

Menerusi insentif yang diumumkan, penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan secara kontrak bakal menerima sebanyak RM2,000.

Pihak pesara tentera sama ada veteran berpencen dan tidak berpencen turut diberikan insentif sebanyak RM1,000. Pembayaran bakal dibuat sebelum akhir Februari 2024.

Menerusi pelbagai pengumuman yang dibuat pihak kerajaan sebentar tadi, pengumuman Belanjawan 2024 manakah yang paling mendapat perhatian anda?