Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 berkata, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.
Beliau berkata, PLKN kali ini kembali dengan konsep baharu membabitkan peserta lepasan kadet sekolah dan turut melibatkan PDRM serta agensi beruniform lain.
Baca Juga:
- PLKN Tiada Dalam Rancangan Untuk Diadakan Pada Tahun 2024
- Nourul Depp Sedia Sumbang Kepakaran Jadi Jurulatih PLKN
- Kegusaran Netizen Terjawab, Hanya Remaja Lahir Pada Tahun 2007 Sahaja Lapor Diri PLKN 3.0
“Program Latihan Khidmat Negara 3.0 akan dimulakan secara rintis dengan konsep baharu melibatkan peruntukan 50 juta ringgit kepada Kementerian Pertahanan bagi lepasan kadet sekolah.
“PDRM dan agensi beruniform lain turut terlibat menjayakan PLKN 3.0 menggunakan prasarana sedia ada dengan kerjasama Akademi Kenegaraan,” katanya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini berkata PLKN 3.0 akan diperkenalkan di peringkat sekolah pertengahan tahun depan sebagai persiapan bagi mereka menjalani latihan selepas berusia 17 tahun, merangkumi pelajar tingkatan empat saja semasa kegiatan kokurikulum.
Fasa seterusnya merangkumi pelaksanaan PLKN asas remaja yang berusia 17 tahun dan ke atas, mereka bakal dipilih untuk menjalani latihan asas di 13 kem askar wataniah, 20 universiti awam (UA) dan beberapa politeknik.

“Fasa latihan asas ini merangkumi pengisian latihan yang terdiri daripada modul asas kenegaraan sebanyak 30 peratus dan latihan asas ketenteraan sebanyak 70 peratus. Latihan tersebut bersifat intensif, lapangan serta praktikal.
“Modul asas kenegaraan dibangunkan oleh KPT mengandungi modul kenegaraan elemen jati diri, modul kenegaraan elemen cinta negara dan modul kenegaraan elemen perpaduan.
“Manakala modul asas ketenteraan pula dibangunkan oleh Kementerian Pertahanan yang berkonsepkan pembelajaran melalui pengalaman serta latihan berkumpulan. Pelatih akan dilatih untuk mempraktikkan budaya kehidupan tentera seperti disiplin, ketetapan masa tersusun dan mandiri,” katanya menerusi laporan dalam Harian Metro.