Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan pada tahun 2018 lalu akan dilaksanakan semula selepas kerajaan setuju untuk meneruskan ‘PLKN 3.0’ dengan kaedah latihan berbeza berbanding sebelumnya, di mana anak muda akan menjalani latihan di kem tentera.

Memetik laporan Berita Harian, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebanyak 13 kem tentera Wataniah akan digunakan untuk latihan selama tempoh 45 hari, dengan kapasitinya menampung seramai 20,000 pelatih.

Baca Juga:

“Kerajaan sudah memikirkan semula untuk meneruskan PLKN. Jemaah Menteri pada 2021 sudah pun meluluskan supaya ia dikaji semula dengan cara baharu untuk kita meneruskan PLKN.

“Satu jawatankuasa khas ditubuhkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk mengkaji bagaimana cara kita hidupkan semula PLKN, tetapi dengan ‘template‘ (acuan) baharu yang mana PLKN dulu dilakukan di banyak kem.

“Kita mahu supaya kali ini kita tidak berbelanja banyak, tetapi ia lebih memberikan pulangan baik kepada modal insan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, penambahan khidmat jurulatih dalam kalangan veteran tentera juga dialu-alukan.