Pada awal bulan Oktober lalu, kerajaan bersetuju untuk meneruskan ‘PLKN 3.0’ dengan kaedah latihan di kem tentera.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebanyak 13 kem tentera Wataniah akan digunakan untuk latihan selama tempoh 45 hari, dengan kapasitinya menampung seramai 20,000 pelatih.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Memetik kemas kini terbaharu, PLKN 3.0 akan membabitkan dua fasa di mana  Fasa 1 membabitkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap akan diperkasakan pada peringkat itu.

Manakala lepasan SPM pula akan menyertai Fasa 2 di kem latihan tentera wataniah sedia ada, petik Berita Harian.

“PLKN Fasa 1 membabitkan penglibatan di fasa sekolah, manakala PLKN Fasa 2 pula selepas fasa sekolah, iaitu selepas peperiksaan SPM.

“Selepas pembabitan belia dalam PLKN ini, mereka akan disambut oleh agensi lain sebagai kesinambungan kelahiran mereka daripada program ini,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen baru-baru ini.

Tambah Menteri Pertahanan lagi, 90 peratus daripada kandungan latihan Fasa 2 ini berkaitan ketenteraan supaya dapat membina jati diri belia yang kuat dan bertenaga, 10 peratus daripada kandungan lagi adalah berkaitan tatanegara.

Dalam pada itu, kerajaan akan memanfaatkan 13 kem tentera wataniah di seluruh negara untuk pelaksanaan PLKN ini termasuk sebuah kem Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.

Mohamad Hasan menyatakan kos asal program ini mencecah RM500 juta setahun, bagaimanapun kos baharu berdasarkan kertas kerja jawatankuasa adalah tidak melebihi RM100 juta setahun —di mana tenaga pelatih membabitkan anggota tentera sendiri antara faktor yang dapat menjimatkan kos keseluruhan.

“Hasil PLKN ini nanti, ia akan dapat melahirkan belia berkualiti, berdisiplin, cintakan negara dan tersedia untuk memikul tanggungjawab dalam masyarakat,” kata Menteri Pertahanan itu.

Sumber