Isu kos sara hidup memang sentiasa menjadi perbualan utama kita setiap hari. Dalam Belanjawan 2027, kerajaan mengesahkan pelaksanaan pemberian tunai dan subsidi bersasar akan diteruskan, termasuk program Budi Madani.
Langkah ini diambil untuk memastikan bantuan kewangan sampai terus kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Bagi mengelakkan isu kelayakan yang tercicir atau tersalah bagi, mekanisme penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), serta bantuan kebajikan untuk kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan rentan akan ditambah baik. Matlamatnya jelas, iaitu meminimumkan ralat pemasukan dan penyisihan.
Persediaan Negara Menua dan Perlindungan Persaraan
Satu lagi fokus penting ialah persediaan Malaysia menuju status negara menua. Rangka kerja persaraan serta perlindungan keselamatan sosial di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan dinilai semula. Kerajaan mahu memastikan simpanan persaraan rakyat cukup dan mampan untuk jangka masa panjang.
Pada masa yang sama, pembangunan ekonomi penjagaan turut diberi keutamaan. Ini merangkumi kemudahan penjagaan jangka panjang dan perkhidmatan berasaskan komuniti bagi menyokong warga emas serta keluarga mereka.
Luar Bandar dan Pembangunan Seimbang
Selain bantuan tunai, Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada perkhidmatan asas seperti jaringan pengangkutan, infrastruktur digital, serta kemudahan kesihatan dan pendidikan berkualiti. Pembangunan ini dirancang secara seimbang merentas wilayah, terutamanya di Sabah dan Sarawak, bagi merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar.
Bagi komuniti luar bandar dan pedalaman, ketersambungan fizikal serta digital akan diperkukuh. Kerajaan juga mahu memperluas akses kepada perkhidmatan asas, meningkatkan produktiviti sektor pertanian dan perusahaan tempatan, sekali gus membuka peluang ekonomi yang lebih luas untuk menambah pendapatan isi rumah.
Peluang Saksama Untuk Semua Golongan
Usaha pembangunan ini akan disokong oleh program berteraskan komuniti. Fokus utamanya adalah untuk meningkatkan pemilikan ekonomi Bumiputera, di samping mencungkil potensi golongan belia, wanita, masyarakat pribumi, dan koperasi dana ekonomi sosial.
Golongan OKU juga tidak dilupakan. Kerajaan memberi penekanan terhadap penyediaan infrastruktur berteraskan reka bentuk sejagat serta akses kepada peluang pekerjaan yang lebih saksama.
Menurut laporan rasmi kerajaan, Belanjawan 2027 akan memastikan isi rumah terus dilindungi melalui bantuan bersasar yang disokong oleh akses lebih baik kepada infrastruktur, pendidikan, penjagaan kesihatan, mobiliti, dan perlindungan sosial.