Siapa yang tak kenal dengan Eco-Shop? Kedai saka yang asalnya kita masuk sekadar nak beli penyepit baju, tapi bila keluar troli penuh dengan pelbagai barang yang tak ada dalam senarai asal.

Gaya perniagaan barangan harga mampu milik yang sentiasa penuh dengan pembeli ini nampaknya bukan sahaja menarik perhatian rakyat marhaen, malah turut memikat hati gergasi dana persaraan negara.

Beli 8.68 Juta Saham, KWSP Kini Pemegang Saham Utama Eco-Shop
Sumber Gambar: Sinar Harian

Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja secara rasminya muncul sebagai salah satu pemegang saham utama dalam Eco-Shop Marketing Berhad. Langkah ini disahkan menerusi makluman rasmi syarikat peruncitan berkenaan kepada Bursa Malaysia.

Pembelian 8.68 Juta Saham Baharu

Semuanya bermula apabila KWSP menambah pegangan dengan membeli sebanyak 8.68 juta saham biasa dalam syarikat popular itu pada 27 Ogos 2026.

Memetik Harian Metro, transaski terbaharu ini secara tidak langsung melonjakkan jumlah keseluruhan pegangan langsung dana persaraan tersebut kepada 296.16 juta saham biasa.

Bila dikira berdasarkan jumlah modal saham terbitan Eco-Shop yang berjumlah 5.76 bilion saham biasa setakat tarikh berkenaan, pegangan KWSP kini melepasi ambang 5 peratus, iaitu tepat pada kadar 5.144 peratus.

Dalam dunia pelaburan bursa, mana-mana institusi atau individu yang memegang lebih 5 peratus pemilikan secara automatik diiktiraf sebagai pemegang saham utama.

Duit Kitaran Harian Yang Pulang Semula

Bagi orang awam, berita pelaburan bursa mungkin kedengaran penuh dengan angka dan terma yang rumit.

Namun jika dilihat dari sudut yang lebih dekat, ia menunjukkan bagaimana dana persaraan diuruskan menerusi sektor peruncitan tempatan yang mempunyai aliran tunai harian yang sangat aktif.

“Bila fikir balik, kelakar juga. Kita sibuk beratur bayar barang barang rumah tiap-tiap minggu, rupanya duit simpanan persaraan kita pun ada bahagian dalam perniagaan kedai tu,” seloroh seorang pembeli tegar yang ditemui di salah sebuah cawangan.

Fenomena kedai harga patut ini terbukti mempunyai model perniagaan yang kukuh.

Dengan rangkaian cawangan yang meluas di seluruh negara serta jumlah pelanggan yang sentiasa konsisten, syarikat peruncitan seperti ini menjadi antara sasaran pelaburan yang munasabah untuk institusi seperti KWSP bagi menjana pulangan dividen yang stabil.

Isyarat Positif Sektor Peruncitan

Penyertaan KWSP sebagai pemegang saham utama memberikan isyarat positif terhadap keyakinan pelabur institusi terhadap prospek sektor barangan keperluan harian.

Model perniagaan yang bergantung kepada volum jualan tinggi dan harga mampu milik nampaknya kekal bertahan serta relevan dalam pelbagai situasi ekonomi.

Selepas ini, setiap kali anda melangkah masuk ke cawangan Eco-Shop dan menambah barangan ke dalam troli, anda boleh tersenyum sikit kerana secara tidak langsung, kejayaan operasi perniagaan itu kini turut memberi nilai kepada tabung masa depan anda sendiri.