“Aku tak tahu apa fungsi peguam perumahan selain daripada nak duit duit duit. Beli kereta ratus ribu pun tak payah peguam-peguam. Beli rumah RM180 ribu sampai dua peguam nak kena bayar. Ini peguam dah telefon nak kena bayar strata la apa la. Bayar itu la ini la.” – Pembaca satu blog tempatan.

Kata-kata di atas adalah antara tohmahan yang sering dilemparkan kepada kami, peguam hartanah.

Telinga kami mungkin sudah tepu mendengar persepsi segelintir masyarakat terhadap kami. Biarlah, jika begitu persepsi segelintir mereka.

Kami tidak mampu tutup mulut orang. Kerana kami percaya masih ramai lagi di luar sana yang memahami dan menghargai peranan kami dalam membantu melindungi hak dan kepentingan manusia.

Dalam posting ini saya tidak bercadang untuk menjawab secara spesifik tentang tohmahan di atas. Tetapi saya hanya ingin menjelaskan kenapa dalam sesuatu urusan jual beli hartanah, perlu bagi seseorang itu melantik peguam berbanding dalam urusan jual beli kenderaan.

1. Tempoh

Tempoh pinjaman beli kenderaan adalah lebih singkat berbanding tempoh pinjaman pembelian hartanah. Tempoh pinjaman kenderaan kebiasaannya adalah antara 5 hingga 9 tahun sedangkan tempoh pinjaman perumahan/ hartanah menjangkau sehingga 35 tahun.

Atas sebab ianya melibatkan tempoh pinjaman yang panjang, maka adalah perlu pihak-pihak dalam sesuatu urusan jual beli hartanah melantik peguam untuk melindungi hak dan kepentingan mereka sejak daripada awal transaksi lagi.

Walau bagaimanapun sekiranya anda yakin anda mampu lindungi hak dan kepentingan anda sendiri, dan pihak bank juga yakin terhadap anda, anda boleh sahaja tidak lantik peguam.

2. Pihak-pihak terlibat

Urusan jual beli kenderaan hanya melibatkan 3 pihak sahaja, iaitu penjual kenderaan, bank dan pembeli.

Sedangkan dalam urusan jual beli hartanah, transaksinya akan melibatkan banyak pihak termasuklah pembeli, penjual, bank penjual, bank pembeli, LPPSA, pejabat tanah, pejabat duti setem, majlis daerah, pihak berkuasa negeri dan sebagainya.

Adakah anda mampu berurusan dengan semua pihak tersebut untuk menyelesaikan urusan transaksi jual beli hartanah anda? Jika mampu, boleh sahaja anda tidak lantik peguam untuk mewakili anda dan anda boleh uruskannya sendiri. Dipersilakan.

3. Undang-undang

Urusan jual beli kenderaan hanya akan melibatkan satu peruntukan undang-undang sahaja iaitu Akta Sewa Beli.

Sedangkan dalam transaksi jual beli hartanah terdapat pelbagai undang-undang yang berkaitan dan terpakai, termasuklah Akta Kontrak, Kanun Tanah Negara, Akta Pemajuan Perumahan, Akta Hakmilik Strata, Akta Setem dan banyak lagi.

Oleh yang demikian mampukah anda memahami semua akta-akta tersebut? Jika jawapannya ya, bisa sahaja anda uruskan sendiri urusan jual beli hartanah anda. Boleh jimat duit, bukan?

4. Prosedur

Urusan jual beli kenderaan tidak akan melibatkan prosedur yang kompleks. Semuanya telah disebut dengan terperinci satu persatu dalam Akta Sewa Beli.

Sedangkan prosedur urusan jual beli hartanah kadangkala agak sukar dan memeningkan. Peguam sendiri pun kadang kala sampai migrain hendak menyelesaikan masalah yang agak rumit tersebut.

Maka, jika anda sanggup dan mampu menyelesaikan kerumitan dalam urusan jual beli hartanah tersebut secara sendiri, silakanlah uruskan sendiri transaksi jual beli hartanah anda.

5. Saksi

Urusan jual beli kenderaan tidak mengkehendaki dokumen-dokumen yang berkaitan ditandatangan di hadapan peguam sebagai saksi.

Tetapi dokumen urusan jual beli hartanah mengkehendaki ianya ditandatangani di hadapan peguam atau pegawai pejabat tanah. Sebagai saksi, peguam tersebut terpaksa berhadapan dengan liabiliti dan mereka juga akan dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi di mahkamah kelak sekiranya terdapat apa-apa pertikaian melibatkan dokumen yang disaksikannya tempoh hari.

Maka sanggupkah anda menjadi saksi terhadap semua dokumen jual beli yang anda sendiri tandatangan? Dan sanggupkah anda hadir ke mahkamah sebagai saksi untuk mengesahkan penyaksian terhadap dokumen yang anda sendiri tandatangan?

Jika sanggup, anda boleh sahaja sediakan perjanjian sendiri dan menjadi saksi kepada diri sendiri atas semua transaksi jual beli hartanah yang anda lakukan.

Dan jika terdapat sebarang perbalahan di kemudian hari anda sendirilah yang perlu tanggung liabiliti dan hadir sendiri ke mahkamah memberi keterangan.

Apabila peguam telah mewakili anda dalam transaksi jual beli hartanah anda, sudah pastilah akan ada caj perkhidmatan dikenakan. Melainkan peguam tersebut adalah bapa atau ibu anda sendiri.

Sama juga sekiranya anda sakit, anda perlu berjumpa doktor untuk dapatkan rawatan. Sudah pasti anda akan dikenakan caj perkhidmatan terhadap rawatan dan ubat yang diberikan. Tetapi anda berhak untuk tidak berjumpa doktor sekiranya anda mampu merawat sendiri penyakit.

Oleh yang demikian, berdasarkan sebab-sebab di atas, adalah perlu untuk anda lantik peguam dalam sesuatu urusan jual beli hartanah. Bukan untuk orang lain, tetapi demi kebaikan diri anda sendiri juga.

Harap penjelasan ini dapat merungkai kekeliruan persoalan yang dibangkitkan oleh pembaca di atas. Itu pun bagi orang-orang yang ingin memahami. Jika masih tidak mahu faham, kami serahkan semuanya kepada Allah Taala.

Tiadalah daya, tiadalah upaya kami untuk memberi kefahaman kepada manusia, melainkan Dialah jua yang berkuasa atas segala-galanya.

Wallahuaklam.

Terima kasih.