Selepas hampir sembilan tahun berada dalam tahanan reman berkaitan kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, seorang lelaki Orang Asli berusia 47 tahun, Jambi anak Chang Taa Nam, akhirnya dibebaskan dan dapat kembali ke pangkuan masyarakat.

Jambi dilaporkan telah menghabiskan hampir sembilan tahun di penjara sementara menunggu perkembangan kes yang dihadapinya.

Menurut peguam, Kamal Hisham Jaafar di Facebooknya, Jambi sebelum ini pernah diwakili oleh beberapa orang peguam, namun kesemua mereka akhirnya menarik diri daripada mewakilinya.

Keadaan itu menyebabkan Jambi mengambil inisiatif menulis surat dari dalam penjara kira kira lima bulan lalu bagi memohon bantuan untuk mendapatkan pembelaan dan membebaskannya daripada tahanan yang begitu lama.

Menariknya, dalam surat tersebut Jambi turut mengingatkan bahawa dia pernah bertemu Kamal Hisham kira kira 17 tahun lalu ketika menghadiri Program Kembara Mahkota Johor bersama bapanya.

Bapanya ketika itu merupakan seorang Batin di sebuah perkampungan Orang Asli di Johor, manakala Kamal Hisham pula merupakan Setiausaha kepada program berkenaan.

Kamal Hisham berkata, selepas menerima surat tersebut, beliau meneliti keadaan Jambi sebelum pergi melawatnya di penjara dan mengambil alih pengendalian kes berkenaan.

“Saya telah pergi melawat beliau di tempat penjara reman dan mula mengambil alih serta mengatur strategi bagi membebaskan beliau,” katanya.

Menurutnya, usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila Jambi dibebaskan pada pagi ini.

“Dengan izin Allah SWT, hari ini beliau telah keluar bebas untuk kembali kepada masyarakat,” katanya.

Peguam Kongsi Cerita Sebenar Bagaimana Tahanan Reman Paling Lama Di Malaysia Akhirnya Dibebaskan

Kamal Hisham turut menegaskan bahawa segala usaha perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan, namun keputusan akhirnya tetap berada dalam ketentuan Allah SWT.

“Kita berusaha dengan ikhlas dan gigih, segalanya ditentukan Allah,” katanya.

Pembebasan Jambi selepas hampir sembilan tahun dalam tahanan itu pastinya menjadi satu detik besar buat dirinya selepas melalui tempoh yang panjang di sebalik tembok penjara.

Kini, beliau akhirnya dapat menghirup udara bebas dan kembali menjalani kehidupan bersama masyarakat.