Jude Bellingham tampil menjelaskan detik tegang yang berlaku antara dirinya dan Lionel Messi dalam separuh akhir Piala Dunia, selepas perbualan mereka di atas padang mencuri perhatian ramai.

Dalam aksi tersebut, Messi menjadi wira Argentina apabila mencipta dua gol lewat permainan untuk membantu juara bertahan itu bangkit menewaskan England 2-1 selepas Anthony Gordon membuka jaringan.

Namun, satu momen pada separuh masa pertama menjadi tumpuan apabila Bellingham dan Messi dilihat berbalas reaksi dengan gerakan tangan serta mimik muka sebelum kedua-duanya beredar.

Ramai menyangka berlaku pertelingkahan antara dua bintang besar itu, tetapi Bellingham menjelaskan ia hanyalah perbincangan mengenai keputusan pengadil.

“Kami sebenarnya sedang berbincang mengenai satu kekasaran. Tiada apa-apa yang buruk,” kata Bellingham.

“Saya pasti semua orang akan cuba jadikan ia sesuatu yang besar, tetapi sebenarnya tiada apa-apa pun.”

Menurut pemain Real Madrid itu, dia hanya menyuarakan pendapat mengenai satu situasi foul melibatkan Messi.

“Saya rasa ada kekasaran sebelum itu dan dia kata: ‘Bagaimana pula dengan kekasaran terhadap saya?’

“Saya jawab: ‘Awak cukup kuat untuk menghadapinya.’ Awak faham maksud saya?”

Walaupun kecewa kerana England tersingkir, Bellingham mengakui beraksi menentang Messi adalah satu pengalaman yang istimewa.

“Ia satu penghormatan untuk bermain menentangnya. Tiada apa-apa isu dengan dia. Saya berada di pihak yang kalah dan ia sangat menyakitkan, tetapi ia satu penghormatan untuk beraksi menentang salah seorang pemain terbaik.”

Kekalahan itu menyaksikan England gagal mara ke final Piala Dunia buat kali pertama sejak menjulang trofi pada 1966.