Seorang wanita didenda RM700 selepas mengaku bersalah Mahkamah Majistret Trafik, di sini, hari ini, atas tuduhan membenarkan anaknya yang berusia 10 tahun memandu kereta, awal bulan lalu.
Memetik Harian Metro, hukuman dijatuhkan Majistret Marlissa Mohd Fahmy.
Baca Juga:
- Budak 10 Tahun Bawa Kereta, Rempuh Dua Kenderaan
- Pemilik X50 Bengang Budak-Budak Selalu Tendang Bola Terkena Kereta
- Pandu Kereta Proton Saga Milik Bapa, Budak 11 Tahun Ditahan Polis
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemilik kereta jenis Toyota Corolla telah membenarkan kanak-kanak berusia 10 tahun memandu kenderaan berkenaan di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian pada 9 malam, 3 September lalu.
Perbuatan itu suatu kesalahan di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Wanita itu yang juga pekerja pembersihan merayu supaya dikenakan denda rendah kerana berpendapatan RM1,500 sebulan dan menanggung tiga anak yang masih bersekolah serta suami yang sakit. Wanita itu tidak diwakili peguam.
Memetik laporan Harian Metro lagi, Timbalan Pendakwa Raya M Pusppa meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran kepada tertuduh, mengambil kira keseriusan kesalahan dilakukan.
Ini kerana perbuatan itu bukan hanya membahayakan diri kanak-kanak terbabit, malah merisikokan keselamatan orang awam dengan ketika kejadian. Ditambah pula anak wanita itu turut membawa seorang lagi kanak-kanak berusia sembilan tahun, iaitu anak jiran mereka.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh didenda RM700 atau dipenjara tujuh hari jika gagal membayar denda itu.