Tiga buah kereta terlibat kemalangan selepas seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dikesan memandu kereta milik keluarganya dalam kejadian di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian di sini, malam tadi.
Memetik Berita Harian, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 itu, kereta terbabit turut dinaiki seorang lagi kanak-kanak berusia sembilan tahun.
Baca Juga:
- Selipar & Vandalisme Punca Dua Budak Terperangkap Dalam Lif
- Budak Perempuan Melambung Disondol Lembu Terlepas, Netizen Persoal Aspek Keselamatan Ibadah Korban
- Netizen Geram Tengok Budak Rohingya Campak Kek Batik Sarawak Orang Bagi
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika kereta jenis Toyota Corolla dipandu seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun bersama rakannya berusia sembilan tahun.
“Kereta itu dipercayai milik ibu bapa kanak-kanak berkenaan, manakala rakannya pula adalah anak kepada jiran.
“Mereka dari arah Apartment Arowana Impian ke Taman Arowana Impian. Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta itu dikatakan terbabas ketika melalui selekoh,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan.
Tambahnya lagi, kereta terbabit kemudiannya dikatakan melanggar sebuah van jenis Toyota yang diparkir di kiri bahu jalan.
“Akibat rempuhan itu, van berkenaan menggelongsor ke hadapan dan merempuh sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diparkir di hadapannya,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39(1) dan Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mohamad Hatta turut menasihatkan semua pihak untuk mematuhi peraturan jalan raya dan ibu bapa atau penjaga supaya memantau tindakan anak-anak bagi mengelak kejadian seperti itu.
Dalam pada itu, kes sedemikian boleh menyebabkan pelaku kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga juga dikenakan tindakan tegas.