Bentley Motors secara rasminya telah memperkenalkan Bentley Torcal, sebuah SUV elektrik sepenuhnya (EV) pertama dalam sejarah 107 tahun syarikat pengeluar kenderaan mewah berkenaan.

Pelancaran model berprestasi tinggi ini disifatkan oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Bentley, Dr. Frank-Steffen Walliser, sebagai salah satu pencapaian paling signifikan yang bakal menjadi penanda aras serta asas rekaan dan teknologi bagi model-model Bentley pada masa hadapan.

Reka Bentuk Luaran Dan Dalaman Progresif

Di bawah arahan Pengarah Rekabentuk Robin Page, Torcal menampilkan bahasa rekaan baharu yang mengekalkan identiti ikonik Bentley.

Model SUV serba baharu ini mengaplikasikan empat prinsip rekaan:

1. Garis bumbung yang rendah, jarak roda yang panjang, serta gril hadapan tegak.

2. Lampu hadapan canggih yang diinspirasikan daripada model Continental T, gril berlapis bercahaya, serta rekaan belakang prestigious shield daripada kereta konsep EXP 15.

3. Pengurangan garis luaran yang tidak perlu untuk menonjolkan bahagian belakang kenderaan yang sasa.

4. Penggunaan motif berlian pada pelbagai kemasan luaran dan dalaman.

Kuasa Prestasi Elektrik Terunggul

Torcal menguasai landasan EV menerusi dua motor elektrik permanent magnet synchronous serta bateri voltan tinggi 800V berkapasiti 113 kWh (dengan jaminan 10 tahun atau 100,000 batu).

Dua varian ditawarkan semasa pelancaran:

1. Varian Standard (Core): Menghasilkan 821 PS dan tork 1,194 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 3.4 saat dengan kelajuan maksimum 250 km/j.

2. Varian Torcal S: Menghasilkan kuasa maksimum sehingga 888 PS dan tork puncak 1,350 Nm (tork tertinggi dalam sejarah Bentley). Pecutan 0-100 km/j hanya mengambil masa 2.9 saat dengan kelajuan maksimum 260 km/j.

Pengendalian kenderaan diimbangi oleh sistem suspensi aktif sepenuhnya (fully active suspension) tanpa anti-roll bar, sistem stereng semua roda (All Wheel Drive) yang mengurangkan jejari putaran kepada 11.1 meter, serta pilihan brek seramik Carbon Silicon Carbide (CSiC).

Jarak Pemanduan dan Pengecasan Pantas

Sesuai untuk kegunaan harian dan pemanduan jarak jauh, Torcal menawarkan jarak gerak sehingga 600 km (375 batu) mengikut standard ujian. Dengan keupayaan pengecasan pantas DC sehingga 400 kW, baterinya boleh diisi dari 10% hingga 80% dalam tempoh kurang dari 20 minit, atau menambah jarak pemanduan sejauh 161 km dalam masa 7 minit sahaja.

Kenderaan ini turut dilengkapi 25 unit radar, sensor, dan kamera ADAS yang menyokong fungsi pemanduan berautonomi, ketersambungan aplikasi telefon pintar (Mobile Device Key), navigasi Augmented Reality Head-Up Display, serta pintu berkuasa elektrik yang boleh dibuka dan ditutup secara automatik.

Simfoni Bunyi Khas dan Kualiti Audio

Bagi mengekalkan emosi pemanduan enjin V8 tradisi Bentley, pasukan jurutera telah mencipta Bentley Dynamic Symphony — sistem bunyi buatan manusia yang dihasilkan menggunakan instrumen muzik sebenar seperti dram, biola, dan gitar bes. Kelajuan dan tork kenderaan akan menyesuaikan tahap frekuensi bunyi ini secara dinamik mengikut mod pemanduan (Bentley, Comfort, Sport, dan Refresh).

Bagi sistem audio dalaman, pelanggan boleh memilih sistem pembesar suara Naim 1,780W dengan 28 pembesar suara yang menyokong teknologi Dolby Atmos 7.1 dan penggetar kinestetik pada tempat duduk.

Bahan Mewah Mampan

Bentley Torcal memperkenalkan penggunaan fabrik 100% bulu Merino (Merino wool) julung kali dalam industri automotif hasil kerjasama dengan Fox Brothers, yang telah mendapat sijil Responsible Wool Standard (RWS).

Selain itu, kemasan kayu Ombré Walnut menggunakan 1,000 lapisan kayu imbalan dan kertas kitar semula, manakala kemasan Sunburst Aluminium memberikan sentuhan moden pada papan pemuka.

Bentley turut menawarkan 15 pilihan warna kulit olive tan mampan dan bahan Dinamica bagi melengkapkan rekaan ruang dalaman yang serba mewah.