Kita sudah didoktorin bahawa pembelian rumah bertanah atau landed bakal menjadi pelaburan yang lumayan dalam jangka masa panjang.

Namun, realitinya ia tidak seindah yang disangkakan selepas wujud situasi di mana pulangan sewaan yang sepatutnya menampung bayaran bulanan pinjaman bank gagal dipenuhi apatah lagi perlu menambah duit sendiri menerusinya.

rumah
Sumber Gambar: mudahmy

Di kawasan pinggir bandar seperti Semenyih, Kajang, Nilai, dan Puncak Alam, pemilik rumah yang membeli untuk pelaburan sering kali rugi. Walaupun ansuran bulanan bank adalah sekitar RM3,700, kadar sewa yang boleh diperolehi di kawasan tersebut hanya RM2,000 hingga RM2,500.

Situasi ini memaksa pemilik rumah untuk menambah sendiri baki ansuran bulanan yang berjumlah ribuan ringgit dari poket mereka setiap bulan, kerana hasil sewaan tidak cukup untuk menampung kos.

Hal ini membuatkan impian mereka membeli rumah sambil menjana pendapatan pasif langsung terjejas.

“Ramai ingat beli ‘landed’ pasti untung. Tapi bila tengok sewa pasaran tak naik, rumah pun banyak kosong, akhirnya pemilik yang terpaksa tanggung beban,” kata pelabur hartanah di media sosial.

Antara faktor-faktor yang dikenal pasti membawa anda ke lembah situasi ini adalah kadar sewa yang rendah di kawasan pinggir bandar, meskipun harga jualan rumah terus meningkat.

Ini diburukkan lagi dengan persaingan yang tinggi ekoran banyak projek perumahan baru, serta kos penyelenggaraan yang tinggi seperti pembaikan bumbung dan pagar.

Akhirnya, permintaan untuk sewaan terhad kerana majoriti pembeli di kawasan tersebut lebih berminat untuk mendiami rumah sendiri, bukan untuk menyewa.

Memetik dari mStar, individu tersebut menasihatkan bakal pembeli supaya berhati-hati sebelum membeli rumah ‘landed’ untuk tujuan pelaburan.

Beliau menekankan bahawa rumah jenis ini lebih sesuai untuk kediaman sendiri berbanding untuk mendapatkan pulangan sewaan, kerana potensi kerugian adalah tinggi.