Air India dan Malaysia Aviation Group (MAG) dikatakan merebut peluang untuk mendapatkan pesawat Boeing 737 Max yang ditolak oleh syarikat penerbangan China, lapor The Economic.
Sebab utama? Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China telah mencipta peluang baru di Asia.
Dengan China menghentikan penerimaan pesawat Boeing akibat perang tarif, banyak pesawat yang sudah siap dibina kini “tersadai” tanpa tuan.
Dan inilah peluang keemasan yang mahu dimanfaatkan oleh Air India dan MAG.
Air India: Mahu Terbang Lebih Cepat
Sebagai sebahagian daripada pelan transformasi besar-besaran selepas pengambilalihan oleh Tata Group, Air India sedang giat menambah armada baharu.
Masalahnya — pesanan baru yang dibuat tahun lalu hanya akan mula dihantar selepas Mac 2026.

Maka, strategi sekarang ialah mengambil pesawat 737 Max yang asalnya dibina untuk pelanggan China.
Setakat Mac 2025, Air India telah menerima 41 unit dan menjangka akan menerima 9 unit lagi sebelum Jun 2025, menjadikan jumlah keseluruhan 50 buah pesawat.
Pesawat-pesawat ini akan digunakan terutamanya oleh unit tambang rendah mereka, Air India Express, dalam usaha mencabar penguasaan syarikat dominan India, IndiGo.
Malaysia Aviation Group: Tak Mahu Ketinggalan
Malaysia Aviation Group (MAG), induk kepada Malaysia Airlines, juga tidak mahu ketinggalan.
Mereka kini sedang dalam perbincangan dengan Boeing untuk mengambil slot penghantaran yang dibatalkan oleh syarikat penerbangan China.

Langkah ini dapat membantu MAG menambah kapasiti dengan cepat, dalam usaha memperkukuh kedudukan dalam pasaran penerbangan serantau yang semakin sengit.
Cabaran Ambil Boeing Yang Ditolak China
Walaupun peluang ini dilihat menarik, ia datang dengan cabaran tersendiri.
Pesawat-pesawat ini asalnya dibina mengikut spesifikasi syarikat penerbangan China — termasuk reka bentuk kabin, konfigurasi tempat duduk, dan pelbagai elemen teknikal lain.
Untuk disesuaikan dengan keperluan Air India atau MAG, pengubahsuaian besar-besaran perlu dilakukan — dan ini bukan kerja sehari dua.
Air India Express, misalnya, bercadang menukar semua tempat duduk kelas bisnes kepada ekonomi menjelang April 2026, tetapi rancangan ini kini terganggu akibat kelewatan bekalan bahan dan alat ganti.
Risiko Ditinggalkan Pesaing
Air India menghadapi risiko besar — jika gagal mengukuhkan armada mereka sekarang, mereka mungkin terus ketinggalan berbanding IndiGo, pesaing utama dalam pasaran domestik.
Ketua Pegawai Eksekutif Air India, Campbell Wilson, baru-baru ini mengakui mereka masih berusaha menarik pelanggan melalui harga tiket yang lebih murah, sambil cuba menampung kekurangan disebabkan kabin lama dan kelewatan peningkatan perkhidmatan.