Baru-baru ini, kecoh di media sosial tentang hasrat pengusaha restoran kontroversi dari Thailand mahu melebarkan sayapnya ke pasaran Malaysia di Kuala Lumpur.

Hantaran lelaki itu bagaimanapun dipenuhi kecaman dan ramai netizen membantah sekeras-kerasnya terhadap konsep restorannya yang dipercayai boleh mencemari imej dan budaya tempatan.

Berhasrat Buka Restoran Thailand Di KL, Ini Jawapan Dua Lelaki Yang Dituduh Bawa Budaya 'Tidak Sesuai'
Sumber Gambar: FB

Hal ini kerana Restoran Sathanameehoi ini membawakan konsep berunsur hiburan lalu dilayan oleh sejumlah lelaki sasa yang berpakaian seperti wanita.

Mungkin bagi sesetengah individu melihat ia hanya sekadar hiburan atau jenaka semata-mata.

Bagaimanapun, netizen tempatan melihat budaya sebegini ini tidak layak untuk dibawa masuk ke Malaysia kerana menyalahi adat dan tradisi tempatan yang sangat menjaga maruah bagi setiap jantina.

Ekoran dikecam teruk, dua lelaki tampil menjelaskan hasratnya yang ingin membuka cawangan restoran itu di Malaysia tetapi tidak menyelitkan elemen sedemikian.

“Kami memang sangat sukakan Malaysia. Namun, ingin kami tegaskan bahawa kami tidak akan mengadakan sebarang persembahan tarian seperti di Bangkok. Konsep tarian yang kami bawa di Thailand hanya bertujuan menggembirakan pelanggan yang datang ke restoran kami di sana,” jelas mereka.

Mereka menegaskan sekali lagi bahawa konsep ‘fun’ itu tidak akan dibawa sekali menerusi yang bakal dibuka di Malaysia kelak.

“Sebaliknya, restoran yang ingin dibuka di Malaysia akan mengetengahkan sajian makanan asli Thailand yang terkenal, selaras dengan minat mendalam Dee dalam dunia masakan serta impiannya untuk memperkenalkan masakan Thai ke peringkat global.

“Restoran kami di Thailand, Staneemehoi, akan terus beroperasi seperti biasa. Sementara itu, di Malaysia, kami mahu memperkenalkan hidangan asli Thailand untuk dinikmati masyarakat tempatan. Destinasi pertama kami di luar negara ialah Kuala Lumpur,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, mereka turut menegaskan komitmen untuk menjaga sensitiviti masyarakat tempatan di samping menjaga nama baik untuk kedua-dua negara terbabit.

“Kami amat menghormati budaya Malaysia dan sentiasa menyayangi negara ini. Oleh itu, kami berjanji tidak akan melakukan sebarang perkara yang boleh menjejaskan nama baik kami atau Malaysia,” tegas mereka.