Selain filem Fast X, kini Polis Evo 3 pula menjadi bualan hangat di kalangan peminat tempatan. Filem Polis Evo 3 membuktikan kecemerlangan pada hari pembukaan di pawagam-pawagam tempatan dengan kutipan keseluruhan sebanyak RM3.4 juta.

Jumlah tersebut sekali gus menjadikan kutipan Polis Evo 3 melebihi dua kali ganda pada hari Khamis, sekali gus mendominasi carta kutipan pawagam. Bahkan, Polis Evo 3 terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures turut tular di media sosial dengan maklum balas positif diberikan oleh penoton.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →
Sumber Gambar: Utusan Malaysia

Kutipan ini membuktikan ia berjaya mengetepikan filem antarabangsa, FAST X dengan kutipan melebihi 2 kali ganda semalam, sekali gus mendominasi carta kutipan pawagam.

Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara , Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya bersyukur dengan sokongan penonton terhadap Polis Evo 3 yang amat luar biasa.

“Kami rasa amat berbesar hati apabila penonton memilih karya tempatan untuk dijadikan tontonan dan dikesempatan ini saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang sudah menyaksikan Polis Evo 3 di pawagam.

“Momentum positif ini membuktikan penonton kita masih meletakkan kepercayaan pada karya tempatan. Kami harap penonton akan berpuas hati serta terhibur selepas menyaksikan Polis Evo 3.

“Kejayaan filem tempatan mengatasi kutipan filem antarabangsa ini juga selaras dengan tagline Polis Evo 3 iaitu ‘Kita Lagi Kuat Boh’,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Polis Evo 3 mengisahkan mengenai Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaru dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza.

Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.

Sedikit informasi tambahan buat pembaca, Polis Evo (2015) mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta dan Polis Evo 2 (2018) memungut jumlah box office RM23 juta.