Nama Kuantan mula menjadi perhatian dunia selepas disebut oleh salah seorang karakter ikonik di dalam siri anime Jujutsu Kaisen pada episod terbaharunya yang ditayangkan di platform Netflix.

Menariknya, perihal nama ‘Kuantan’ yang disebut-sebut dalam sebuah siri anime Jepun popular baru-baru ini, ‘Jujutsu Kaisen’ dibawa dalam sidang Dewan Negeri Pahang ke-15 yang memasuki ketiga hari ini.

Baca Juga:

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan, Leong Yu Man berkata, kerajaan negeri sedang menghubungi pihak Jepun untuk berhubung dengan penulis anime terbabit.

“Baru-baru ini nama pantai di ‘Kuantan’ disebut dalam anime popular Jepun, ‘Jujutsu Kaisen’ dan menjadikan Kuantan trending di media sosial. Jadi kerajaan negeri akan mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan lagi pantai di Kuantan.

“Ada peminat anime ini telah menanda dalam peta Google sebagai tugu peringatan kepada watak Kento Nanami.

Jadi, kita berharap kerajaan negeri dapat endorsement (pengesahan) daripada penciptanya supaya pantai itu menjadi tarikan terbaharu buat peminat anime seluruh dunia,” katanya.

Nama Kuantan tiba-tiba trending di media sosial selepas sebuah episod anime yang dikeluarkan pada bulan lepas ada menyebut nama ibu negeri Pahang itu.

Dalam episod ke-42, watak dalam anime itu, Kento Nanami ada menyebut ingin melawat Kuantan di Malaysia atau lokasi tepatnya iaitu pantai di Kuantan sebelum kematiannya.

Jika semua ini berjalan lancar, negeri Pahang secara khususnya boleh menarik sejumlah peminat Jujutsu Kaisen dari seluruh dunia untuk melawati pantai yang disebut-sebutkan itu sekaligus mampu menjana pendapatan buat penduduk setempat.