Pada akhir Mei tahun lalu, genaplah 50 tahun pemergian Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan tarikh royalti P Ramlee selama 50 tahun tamat sepenuhnya.
Penamatan royalti itu mengikut kontrak perjanjian yang diurus Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP). Sekaligus menyebabkan anak Allahyarham, Sazali, 64, tidak lagi mendapat bayaran royalti P Ramlee mulai Ogos 2023.
Baca Juga:
- Sungguh Mempersonakan, Inilah Rupa Tulisan Tangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee
- Kritikan-Kritikan Sosial Daripada 5 Filem P. Ramlee
- Dilabel Sebagai P.Ramlee Sabah, Fairuz Misran Dilaporkan Meninggal Dunia
Menurut komposer dan penyanyi tersohor, Datuk M Nasir menyifatkan isu royalti itu agak rumit untuk diselesaikan kerana wujud perjanjian antarabangsa, lapor Harian Metro.
Menurutnya, beberapa penulis lirik lain yang bekerjasama dengan arwah masih layak untuk menerima royalti.
“Pembayaran royalti P Ramlee untuk waris-warisnya memang sudah tamat pada tahun lalu, tetapi ada antara penulis lirik lain yang pernah bekerjasama dengan arwah masih layak untuk waris mereka menerima royalti itu.
“Royalti P Ramlee sudah melepasi tarikh tamatnya selama 50 tahun selepas kematian arwah agak rumit diselesaikan kerana ada perjanjian antarabangsa yang memerlukan diteliti daripada pelbagai aspek.
“Jadi, tempoh untuk selesaikan isu royalti P Ramlee yang warisnya (arwah) mohon berpanjangan selama beberapa tahun lagi perlu ambil masa diuruskan,” jelas beliau.
Tambah M.Nasir lagi, beliau tiada jawapan tuntas bilakah isu royalti itu bakal berakhir. Ini kerana prosesnya agak rumit.
Sementara itu, beliau menyatakan tindakan undang-undang wajar diambil terhadap pihak-pihak yang menggunakan nama Allahyarham Puan Sri Saloma dalam pelbagai acara tanpa pengetahuan warisnya — ia berkait perihal isu hak harta intelek Biduanita Negara.
“Bagi Saloma pula, tindakan waris untuk menggunakan saluran undang-undang adalah tepat. Cuma, kalau isu royalti sebagaimana P Ramlee itu, setahu saya Saloma adalah seorang penyanyi.
“Allahyarham tidak mencipta lagu dan kebanyakan karya nyanyiannya hasil ciptaan P Ramlee. Apapun, diharapkan agar pihak luar yang ingin menggunakan ‘jenama’ artis ambil tahu berhubung harta intelek,” katanya.